“Baru ada kesedaran” – Gara-gara Culas Bayar Sewa, Majlis Bandaraya Seremban Cabut Pintu Penyewa PPR

Entertainment
18 Dec 2024 • 10:05 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pintu rumah kena tanggal?

Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam satu operasinya pada minggu lepas telah menanggalkan pintu rumah penyewa yang culas membayar sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah kendalian agensi itu.

Menurut Datuk Bandar Seremban Datuk Masri Razali, tindakan tersebut diambil terhadap penyewa yang mempunyai tunggakan sewa RM15,000 ke atas. Banyak tu!

image is not available

MBS mengadakan Operasi Tunggakan Sewa di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi (PPR Paroi). Operasi ini turut dibantu anggota Balai Polis Paroi.

“Untuk makluman, operasi ini dilakukan secara berhemah tanpa membabitkan sebarang insiden dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Video cabut pintu rumah PPR tular di TikTok

Video situasi operasi menanggalkan pintu rumah itu juga telah dimuat naik di TikTok yang mana memaparkan pihak MBS memberi nasihat dan juga menyatakan sebab di sebalik operasi yang dijalankan mereka terhadap penyewa.

Menerusi video itu juga, difahamkan ada penyewa yang mempunyai tunggakan sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, Masri berkata, MBS sentiasa memberi peluang dan mengutarakan pelbagai kaedah supaya penyewa yang mempunyai tunggakan dapat menjelaskan bayaran sewa.

“MBS melaksanakan aku janji antara penyewa yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000 ke atas untuk menjelaskan bayaran tunggakan secara ansuran bermula Januari tahun lalu.

“Namun, penyewa masih gagal mematuhi perjanjian itu sehingga MBS mengeluarkan Notis Penamatan Perjanjian melalui surat bertarikh 30 November 2024.

“Bagaimanapun, MBS masih membenarkan penyewa yang mempunyai tunggakan bayaran sewa untuk tinggal di rumah berkenaan buat sementara waktu.

“Namun MBS juga mengambil tindakan menanggalkan semua pintu di rumah terbabit supaya mereka segera menjelaskan tunggakan,” katanya.

Operasi ini menurutnya akan dijalankan secara berkala dari semasa ke semasa dan MBS juga meminta penyewa di PPR Paroi dan PPRT Lobak menjelaskan bayaran sewaan mengikut masa yang ditetapkan.

Perkara ini juga menerima respon daripada netizen yang pelik dengan sikap penyewa yang tidak mampu menjelaskan sewaan mereka kerana ada yang mendakwa bayaran sewa hanya bernilai kurang dari RM200 sebulan.

image is not available

Tak pasal-pasal rumah tak berpintu pulak. Aduhai!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.