Pengacara, Ruben Onsu meluahkan rasa syukur setelah berjaya menghafal tiga surah pendek untuk dijadikan bacaan solat setelah dua hari memeluk Islam.
Memetik laporan suara.com semalam, dia memberitahu perjalanan bergelar mualaf dibantu oleh pendakwah, Habib Usman Yahya dan menjelaskan dirinya begitu tertarik tentang cara Islam beribadah.
Ruben Onsu hafal surah pendek

“Saya dibimbing oleh Habib dan disuruh membaca beberapa surah pendek.
“Alhamdulillah, setelah dua hari memeluk Islam, saya telah berjaya menghafal tiga surah pendek untuk saya baca ketika solat,” ujarnya di sebuah podcast STARPRO Indonesia, saluran YouTube.
Sementara itu, bapa kepada tiga cahaya mata ini mendedahkan tujuan utama memeluk Islam kerana ingin memahami cara Muslim beribadah dan memberitahu dia berasa tenang ketika pertama kali mengambil wudhu untuk menunaikan solat.

“Ketenangan yang tidak dapat saya ceritakan. Bermula dari mengambil wudhu, saya dapat rasakan badan menjadi lebih segar dan bertenaga.
“Oleh itu, perkara yang saya tanya terlebih dahulu kepada Habib ialah berkaitan solat. Saya beritahu Habib untuk membantu saya menghafal surah-surah yang saya mampu dan paling penting saya dapat menyempurnakan ibadah solat terlebih dahulu,” ucap Ruben.

Terdahulu, Ruben memuat naik satu hantaran di Instagram memaparkan rutin hariannya setelah bergelar mualaf dengan mendekatkan diri kepada Allah, menunaikan solat dan mentadabbur al-Quran.
Untuk rekod, pada 1 April lalu, pengacara tersebut membuat pendedahan bahawa dirinya sudah memeluk Islam dan keputusan itu dibuat dengan hati terbuka tanpa melibatkan sebarang paksaan daripada pihak luar.
Sumber: suara.com
The post Baru Masuk Islam, Ruben Onsu Berjaya Hafal 3 Surah Pendek Untuk Solat appeared first on Borak Daily.



