Bas ekspres rempuh treler: Pemandu maut, 7 penumpang cedera

11 Mar 2024 • 2:34 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

ALOR GAJAH - Seorang pemandu bas ekspres maut, manakala tujuh penumpang kenderaan itu cedera selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 220.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi, pemandu bas ekspres terbabit Zulkarnain Jalil, 41, yang tersepit di tempat duduk meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan, bagaimanapun pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, daripada tujuh penumpang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu, dua dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, manakala lima orang dibawa ke Hospital Rembau, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Hasil siasatan awal mendapati treler terbabit dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Senawang, Seremban, manakala bas ekspres pula dalam perjalanan dari Stesen Bas Larkin, Johor ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dengan membawa 30 penumpang.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas ekspres berkenaan melanggar belakang treler terbabit yang dipandu di lorong kanan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Arshad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, penumpang bas yang tidak mengalami kecederaan pula meneruskan perjalanan ke TBS menaiki bas gantian yang disediakan syarikat bas ekspres terlibat.

Kemalangan itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - 11 Mac, 2024

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved