Bas ekspres terbakar, pemandu, penumpang selamat

16 Jul 2023 • 12:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Api marak memusnahkan keseluruhan badan bas ekspres yang terbakar di Kilometer 52.5 Lebuhraya KLK berhampiran kawasan Hutan Lipur Lentang, Bentong pada malam Sabtu.

image is not available
Anggota bomba dari BBP Bentong membantu memadam kebakaran bas ekspres yang terbakar dalam kejadian di Kilometer 52.5 Lebuhraya KLK berhampiran kawasan Hutan Lipur Lentang, Bentong pada malam Sabtu.

KUANTAN - Dua pemandu dan 42 penumpang berdepan detik cemas selepas bas ekspres dinaiki terbakar dalam kejadian di Kilometer 52.5 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berhampiran kawasan Hutan Lipur Lentang, Bentong pada malam Sabtu.

Dalam kejadian jam 11.15 malam itu, pemandu dan semua penumpang selamat, namun bas terbabit musnah sepenuhnya.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, lapan anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera ke lokasi untuk operasi pemadaman.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan dua aliran hos salur dan bekalan air dari tangki jentera untuk memadam kebakaran.

"Operasi turut dibantu enam anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Janda Baik.

"Operasi ditamatkan jam 12.40 tengah malam," katanya.