Bas Ekspres Terbakar Selepas Seret Motosikal Di Lebuhraya Utara-Selatan

30 May 2025 • 10:41 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Sebuah bas ekspres terbakar hampir keseluruhannya selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal di Kilometer 406 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Kamunting, malam tadi.

Menurut laporan dari Buletin TV3, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, kejadian berlaku sekitar jam 9.16 malam apabila motosikal yang terbabas dipercayai diseret oleh bas ekspres terbabit, menyebabkan berlakunya kebakaran.

image is not available

Foto: Buletin TV3

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting dan BBP Taiping dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.50 malam. Sebaik tiba, pasukan mendapati hampir 90 peratus struktur bas telah terbakar.

Seramai 28 penumpang bas dilaporkan sempat menyelamatkan diri sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.

Sementara itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke hospital dengan menggunakan unit Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Operasi pemadaman yang diketuai oleh PBK I Ilyas Ramli itu melibatkan 19 anggota serta kekuatan jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT), dan dua unit EMRS. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.15 malam dan operasi tamat pada jam 10.33 malam.

image is not available

Foto: Utusan Malaysia

Sumber: Buletin TV3 (Kumaran Rajamoney)