
GEORGE TOWN – Empat pekerja cedera selepas sebuah bas kilang yang membawa 30 penumpang termasuk pemandu terbabas di selekoh berbukit berhampiran Suria Vista Apartment, Jalan Paya Terubong di sini pagi Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.24 pagi itu, bas jenis Nissan yang membawa pekerja kilang tersebut hilang kawalan sebelum terbabas.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.24 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi.
“Seramai 30 penumpang termasuk pemandu berada di dalam bas ketika kejadian dan empat daripada mereka cedera ringan, manakala 26 lagi selamat.
“Kerja-kerja penyelamatan sedang dijalankan dan operasi masih diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, operasi melibatkan lapan anggota bersama satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS).



