

Bas Pejabat SUK Selangor Bawa 21 Penumpang Terbabas Dalam Parit
Sebuah bas milik Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor terbabas ke dalam parit dipercayai cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah motosikal.
Akibatnya, enam orang cedera parah manakala 15 yang lain mengalami kecederaan ringan dalam kejadian di Kampung Kelanang, Taman Dawai Banting, pada Rabu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada jam 1.07 petang.

Difahamkan, bas tersebut membawa 21 penumpang yang merupakan kakitangan Mahkamah Selangor.
“Seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting serta Balai Bomba dan Penyelamat Telok Panglima Garang dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 1.18 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah bas milik Pejabat SUK Selangor dinaiki 21 individu serta sebuah motosikal,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada hari Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kesemua 21 mangsa terdiri daripada 15 wanita dan enam lelaki yang berada di dalam bas berkenaan.
“Dua lelaki serta empat wanita parah, 15 mangsa lain mengalami cedera ringan manakala pemandu bas berkenaan tersepit di bahagian pemandu.
“Bagaimanapun motosikal yang terlibat dalam kemalangan terbabit gagal dikesan sejurus selepas kejadian,” ujarnya.

Tambah beliau, operasi untuk mengeluarkan pemandu bas yang tersepit dijalankan oleh anggota bomba yang berada di lokasi.
“Mangsa bersama kesemua individu yang cedera parah serta ringan kemudiannya diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
The post Bas Pejabat SUK Selangor Bawa 21 Penumpang Terbabas Dalam Parit appeared first on Siakap Keli.

