Batalkan Rain Rave Water Music Festival 2026 demi menjaga maruah, rakyat

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 4:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Batalkan Rain Rave Water Music Festival 2026 demi menjaga maruah, rakyat
Festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026 dijadual berlangsung di Bukit Bintang bermula 30 April hingga 2 Mei depan - Gambar kecil (Borhan)

SHAH ALAM - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah sekeras-kerasnya penganjuran festival muzik berkonsepkan air, Rain Rave Water Music Festival 2026, yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa serta dijadual berlangsung bermula 30 April hingga 2 Mei depan.

Pemangku Presiden Perkasa, Borhan Ahmad Zakaria berkata, program sedemikian perlu dibatalkan demi menjaga maruah negara dan kesejahteraan rakyat.

"Ini bukan soal hiburan. Ini soal maruah negara, soal adab dan soal keutamaan rakyat yang semakin terabai.

"Ini bukan budaya kita. Pesta air yang mencampurgaulkan lelaki dan perempuan secara terbuka bertentangan dengan nilai ketimuran dan norma masyarakat Malaysia. Ia membuka ruang kepada maksiat, bukan mengangkat martabat rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Acara berskala besar itu dijangka menjadi antara tarikan utama sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dengan konsep unik yang menggabungkan muzik, elemen air dan visual interaktif.

Antara artis tempatan yang bakal membuat persembahan di pentas utama ialah Joe Flizzow, Mimifly, Killa Driz, DJ Cza, Dolla dan De Fam, yang mewakili gabungan genre hip hop, pop dan muzik elektronik.

Borhan berkata, Malaysia bukan tempat pesta maksiat diadakan dengan sewenang-wenangnya seperti di negara lain.

Jelasnya lagi, pihak berkuasa sepatutnya mengutamakan rakyat dan bukannya penganjuran acara hiburan berlebihan ketika ekonomi tidak menentu akibat konflik di negara Teluk.

"Ketika kos sara hidup meningkat, ketika air masih menjadi isu di beberapa kawasan dan ketika jalan raya sesak setiap hari, kerajaan memilih membazir wang rakyat untuk karnival yang tiada manfaat.

"Ini adalah pembaziran air, pembaziran wang dan pembaziran masa. Bukit Bintang bukan gelanggang liar," katanya.

Borhan berkata, kawasan Bukit Bintang akan lumpuh akibat gangguan lalu lintas, pencemaran dan kerosakan prasarana.

Tambahnya lagi, peniaga kecil dan penduduk sekitar akan menanggung akibatnya, bukan penganjur yang berada dalam keadaan selesa.

"Perkasa menuntut penganjuran ini dibatalkan serta-merta. Kami tidak menolak hiburan yang sihat dan membina, tetapi kami menolak sekeras-kerasnya acara yang mengabaikan sensitiviti agama, meniru budaya Thailand, bertentangan dengan adat resam Malaysia dan mengabaikan kesusahan rakyat," ujarnya.

Selain Perkasa, Pemuda Pas Wilayah Persekutuan dan PKR Cabang Bukit Bintang turut membantah ‘pesta air’ itu.