The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

LocalMusic
20 Apr 2026 • 4:18 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

KALAU pagi di Stadium Nasional Bukit Jalil biasanya sinonim dengan suasana sukan, kali ini ia bertukar menjadi satu pesta rentak yang luar biasa, gabungan larian, muzik dan gaya hidup sihat yang berjalan serentak dalam satu laluan penuh warna.

Edisi ke-11 acara larian berkonsepkan muzik, The Music Run™ by AFFIN Kuala Lumpur 2026, kembali dengan sambutan cukup meriah apabila lebih 14,000 peserta memenuhi ruang stadium. Bukan sekadar berlari, sebaliknya setiap langkah 5 kilometer itu diiringi rentak lagu-lagu bertenaga yang membuatkan ramai tanpa sedar turut menari sambil berjoging.

Suasana yang biasanya serius untuk acara larian bertukar menjadi seperti festival terbuka, ada yang berlari sambil ketawa, ada juga yang berhenti seketika untuk menari mengikut beat lagu yang dimainkan di sepanjang laluan. Ia jelas bukan larian biasa, tetapi lebih kepada pengalaman komuniti yang meraikan muzik dan pergerakan secara santai.

Image from: The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

Di kawasan stadium pula, suasana tidak kurang rancaknya. Pengacara serta DJ yang bertugas silih berganti memastikan momentum acara tidak pernah menurun. Setiap segmen disusun supaya tenaga peserta dan pengunjung kekal stabil dari pagi hingga ke malam.

Lebih menarik, pentas utama turut menjadi tumpuan apabila barisan artis tempatan tampil dengan persembahan masing-masing. Antara yang mencuri perhatian ialah penyanyi dan penulis lagu, Talitha, yang membuka pentas dengan alunan indie pop dan R&B yang mudah ‘melekat’ di telinga. Persembahan itu menjadi permulaan lembut sebelum suasana kembali rancak dengan set DJ daripada Jambu Jambu Asia yang membawa energi lebih agresif dan menghidupkan seluruh ruang.

Tidak lama selepas itu, Irene Catalina mengambil alih pentas dengan lagu-lagu berirama tari yang membuatkan ramai pengunjung terus bergerak, seolah-olah masih belum mahu pulang walaupun hari semakin panas.

Antara momen yang paling dinantikan pastinya kemunculan ikon muzik negara, Siti Nurhaliza. Seperti dijangka, kehadirannya disambut dengan sorakan paling kuat dari seluruh penjuru stadium. Dengan vokal yang kekal bertenaga serta aura pentas yang konsisten, persembahan beliau menjadi antara detik paling diingati dalam acara berkenaan, apabila ribuan penonton sama-sama menyanyi dan bergerak mengikut alunan lagu.

Image from: The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

Menjelang malam, pentas terus diwarnai dengan variasi muzik yang berbeza genre. Lil J dari Subang membawa elemen rap dan hip-hop dengan gaya tersendiri, memberikan perubahan rentak yang lebih urban dan segar kepada keseluruhan festival. Sementara itu, DJ No Yeti menutup segmen hiburan dengan set muzik yang lebih santai tetapi masih berenergi, memastikan suasana kekal hidup hingga ke penghujung acara.

Di sebalik kemeriahan itu, The Music Run™ by AFFIN yang dianjurkan oleh Fresh Events Asia Sdn. Bhd. sebenarnya sudah lama dikenali sebagai antara acara gaya hidup aktif berskala global. Sejak diperkenalkan di Kuala Lumpur pada 2014, ia berkembang ke beberapa negara lain termasuk Singapura, Taiwan dan China, dengan jumlah penyertaan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Setakat ini, lebih 360,000 peserta telah mengambil bahagian dalam siri acara ini di seluruh dunia. Konsepnya masih kekal sama, menggabungkan muzik, pergerakan dan interaksi komuniti dalam satu pengalaman yang tidak terlalu formal, tetapi cukup memberi impak kepada gaya hidup sihat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Menurut Pengarah Urusan Fresh Events Asia, Jeff Ross acara ini bukan hanya tentang larian semata-mata, tetapi lebih kepada membina suasana positif yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu ruang yang sama.

“Setiap tahun, kami berusaha membawakan pengalaman muzik dan kecergasan terbaik sambil membina semangat kemasyarakatan, namun edisi tahun ini benar-benar mengagumkan.

"Para hadirin begitu bertenaga, dan amat teruja dalam suasana yang menyaksikan rakyat Malaysia bersatu hati dan menari mengikut rentak muzik yang dipersembahkan.

Image from: The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

"Sempena edisi ke-11 The Music Run™ by AFFIN, kami mengambil inspirasi daripada semangat acara ini menyatukan hati insan untuk mengukir detik-detik manis bersama yang tidak dapat dilupakan, dan kami berharap untuk mengekalkan momentum ini pada edisi-edisi akan datang,” kata Jeff Ross.

Berkongsi sentimen ini, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah menambah, kerjasama turut memberi dimensi berbeza kepada acara ini, apabila ia tidak hanya dilihat sebagai festival hiburan, tetapi juga platform mendekati komuniti dengan pendekatan lebih santai dan dekat dengan gaya hidup semasa.

"Seiring dengan perjalanan Metamorfosis AFFIN ke arah menjadi sebuah Bank yang Moden dan Progresif, komitmen untuk terus memahami serta memenuhi keperluan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.

"Kerjasama ini menyediakan platform yang menarik untuk mendekati golongan muda serta memupuk kesedaran kewangan lebih awal melalui pengalaman yang menyeronokkan, relevan dan selaras dengan aspirasi mereka," ujarnya.

Image from: The Music Run™ KL 2026 gegar Bukit Jalil dengan 14,000 peserta, gabung larian & muzik

Bagi ramai peserta, pengalaman kali ini bukan sekadar tentang menyelesaikan larian 5km, tetapi tentang suasana, berlari sambil muzik dimainkan, berinteraksi dengan orang ramai, dan menikmati hari yang dipenuhi tenaga positif tanpa tekanan.