Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, Z Fold8 dan Z Flip8 dilancarkan malam semalam dengan ia telah disahkan menggunakan bateri dari jenis silikon karbon (SiC). Ini membolehkan Z Fold8 Ultra dilengkapi bateri 5000 mAh dengan pengecasan 45W berbanding 4400 mAh (25W) yang digunakan dalam Z Fold7 tahun lalu.

Tubuh Z Fold8 Ultra juga lebih nipis sementara Z Fold8 dilengkapi bateri 4800 mAh (45W) walaupun tubuhya lebih kecil. Dalam sesi soal jawab bersama media, wakil Samsung mengatakan bateri yang lebih besar tidak diberikan kerana mengambil kira keselamatan, hayat jangka panjang dan prestasi bateri SiC yang digunakan. Insiden Galaxy Note7 masih menghantui Samsung walaupun berlaku 10 tahun lalu.
Sebagai perbandingan, pengeluar peranti dari China sudah menawarkan bateri SiC dengan kapasiti lebih besar. Misalnya Honor X80 Pro Max hadir dengan bateri 11,000 mAh dengan pengecasan 90W. Ini kerana piawaian keselamatan bateri China berbeza dengan piawaian keselamatan global. Ini sebab yang sama peranti dengan saiz bateri besar tidak ditawarkan di Eropah dan Amerika Syarikat.
Sungguhpun begitu kita masih berharap kapasiti bateri SiC Samsung dapat ditingkatkan di masa hadapan kerana di Malaysia, kapasiti bateri adalah antara faktor sebelum peranti dibeli.





