Batik Air lancar penerbangan Kuala Lumpur ke Auckland mulai 24 Ogos 2023

29 May 2023 • 4:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Batik Air lancar penerbangan Kuala Lumpur ke Auckland mulai 24 Ogos 2023

zulfadli

29/05/2023 - 16:06

KUALA LUMPUR 29 Mei - Batik Air akan melancarkan sebanyak enam penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Auckland, New Zealand bermula 24 Ogos 2023.

Destinasi terbaharu dalam rangkaian laluannya yang berkembang ke 'Land of the Long White Cloud' dalam bahasa Maori, akan dikendalikan menggunakan jenama pesawat Boeing 737-8 baharu, yang dilengkapi dengan 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 kelas ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, pihaknya teruja untuk memulakan perkhidmatan baharu itu kerana New Zealand terkenal dengan potensi pelancongan besar, termasuk pengembaraan luar yang unik, makanan dan budaya.

"Ini sememangnya rangsangan yang tepat pada masanya untuk pelancongan di Malaysia, Australia dan New Zealand.

"Dengan sambungan tambahan ini, Batik Air mewujudkan kebolehcapaian dan satu lagi pilihan untuk pelancong dari New Zealand dan Australia untuk menyambung melalui KLIA ke destinasi Batik Air di luar Kuala Lumpur seperti ke India, Nepal, Pakistan, Bangladesh, Thailand, Indonesia, China, Jepun dan banyak lagi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tempahan kini boleh dibuat dan sempena pelancaran itu, Batik Air menawarkan tambang promosi sehala semua termasuk RM1,599 untuk kelas ekonomi dan RM6,749 untuk kelas perniagaan.

Penerbangan akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.55 pagi dan tiba di Auckland pada 4.55 pagi keesokan harinya, manakala penerbangan pulang berlepas dari Auckland pada 7 pagi dan tiba di KLIA pada 3.30 petang.

Penerbangan akan beroperasi melalui Perth, Australia di kedua-dua arah.

Memandangkan penerbangan ke Auckland akan beroperasi melalui Perth, Australia dari kedua-dua arah, waktu berlepas dari Perth pada 6.05 petang dan ketibaan dari Auckland adalah pada 10.40 pagi (waktu tempatan).

Tambang promosi 'all-in' termasuk 20 kilogram (kg) elaun bagasi percuma untuk kelas ekonomi dan 40 kg untuk kelas perniagaan.

Penumpang digalakkan untuk pembelian awal untuk makanan dan sebarang keperluan bagasi tambahan pada kadar diskaun.

Makanan dan minuman juga tersedia untuk dijual di atas kapal semua penerbangan Batik Air. Sila layari laman web malindoair.com or batikair.com.my untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com