Batik Air lancar penerbangan terus Ipoh-Singapura, buka peluang baharu dalam pelancongan dan perniagaan

LocalTravel
8 Dec 2025 • 4:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Batik Air lancar penerbangan terus Ipoh-Singapura, buka peluang baharu dalam pelancongan dan perniagaan
image is not available
zakisalleh08/12/2025 - 16:18 Pelancaran laluan baharu Ipoh–Singapura meletakkan ibu negeri Perak dalam rangkaian syarikat penerbangan Batik Air. Oleh Zaki Salleh editor@dagangnews.com

IPOH 8 Dis - Batik Air memperluaskan operasi domestiknya dengan pelancaran laluan baharu Ipoh–Singapura, meletakkan ibu negeri Perak dalam rangkaian syarikat penerbangan tersebut.

 

Perkhidmatan sulung ini bukan sahaja membuka pintu baru untuk pelancong tetapi juga menjadikan Ipoh sebagai salah satu destinasi warisan paling mudah diakses oleh pengunjung dari Singapura.

 

Singapura kekal sebagai sumber pengunjung antarabangsa terbesar bagi Malaysia dengan 14 juta ketibaan direkodkan dari Januari hingga Ogos lalu. 

 

Angka ini mencatatkan peningkatan signifikan sebanyak 18.1% berbanding tempoh yang sama pada 2024. 

 

image is not available

 

Permintaan memberangsangkan ini mencerminkan minat yang semakin berkembang untuk percutian budaya jarak dekat dan perjalanan hujung minggu lantas menjadikan Ipoh sebagai pintu masuk ideal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy dalam kenyataan berkata, perkhidmatan Ipoh–Singapura adalah penambahan yang bermakna dalam rangkaian syarikat tersebut.

 

Katanya, ia mencerminkan komitmen Batik Air untuk menghubungkan bandar-bandar Malaysia yang dinamik dengan pasaran serantau yang berkembang pesat. 

 

“Singapura kekal sebagai sumber pengunjung terbesar Malaysia dan menyediakan pintu masuk langsung ke Ipoh membuka peluang baharu untuk pelancongan, pertukaran perniagaan dan pertumbuhan komuniti.

 

“Pelancaran ini adalah sebahagian daripada strategi kami yang lebih besar untuk memperkukuh hubungan nasional menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan menawarkan lebih banyak laluan terus yang selesa di seluruh Malaysia. 

 

image is not available
Loh Sze Yee semasa menyambut ketibaan penumpang pertama yang menaiki penerbangan Batik Air dari Singapura di LTSAS, Ipoh.

 

 

image is not available

 

“Dengan melabur dalam laluan seperti Ipoh–Singapura, Batik Air menyokong pertumbuhan pelancongan jangka panjang, merangsang pembangunan serantau dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang terhubung dan bersedia untuk masa depan di tengah-tengah Asia Tenggara,” ujarnya.

 

Terdahulu, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee merasmikan pelancaran laluan tersebut di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini hari ini.

 

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee.

 

Ketika ini LTSAS menawarkan penerbangan untuk laluan Ipoh-Singapura dengan Scoot dan laluan Ipoh-Johor Bahru dengan AirAsia, manakala Batik Air menawarkan penerbangan tujuh kali seminggu.

 

image is not available

 

Sementara itu, Samuel Lee berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif penerbangan ini dengan Singapura terus menjadi salah satu pasaran jarak dekat yang terkuat dan paling berharga bagi Malaysia. 

 

Katanya, lengenalan laluan terus ke Ipoh memberi akses yang lancar kepada pelancong Singapura untuk menikmati budaya Perak yang kaya, warisan yang pelbagai, dan kecantikan alam semulajadi. 

 

“Hubungan langsung ini mengukuhkan daya tarik pelancongan Malaysia dan menyokong matlamat kami untuk TMM 2026, di mana kami menyasarkan untuk menyambut 47 juta pengunjung antarabangsa dan mengetengahkan pengalaman pelancongan bertaraf dunia di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

 

Dengan pengenalan penerbangan terus dari Singapura, pelancong kini boleh menikmati akses yang lebih lancar dan cepat ke salah satu bandar paling bersejarah di Malaysia.

 

Bagi pelancong dari Perak pula mendapat manfaat daripada sambungan yang selesa dan lancar ke pusat global Singapura. - DagangNews.com

Terkini standard