Batik Air lancar penerbangan terus Pulau Pinang–Johor Bahru

Business & Finance
19 Mar 2026 • 2:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Batik Air terus memperkukuh rangkaian domestiknya dengan pelancaran laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Johor Bahru, bermula hari ini. Gambar kecil: Chandran
image is not available

KUALA LUMPUR – Batik Air terus memperkukuh rangkaian domestiknya dengan pelancaran laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Johor Bahru, bermula hari ini.

Perkhidmatan baharu itu menawarkan penerbangan harian, sekali gus memberi pilihan perjalanan yang lebih pantas dan mudah kepada penumpang antara dua pusat ekonomi dan pelancongan utama negara di utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

Pelancaran laluan ini dibuat susulan permintaan tinggi yang direkodkan ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Ketika itu, penerbangan tambahan antara kedua-dua destinasi diperkenalkan bagi menampung peningkatan jumlah penumpang yang pulang ke kampung halaman.

Batik Air dalam satu kenyataan berkata, sambutan menggalakkan tersebut mencerminkan keperluan yang semakin meningkat terhadap lebih banyak sambungan penerbangan domestik secara terus tanpa perlu melalui Kuala Lumpur.

Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang mencatatkan 741,183 pergerakan penumpang pada Januari 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pintu masuk penerbangan paling sibuk di Malaysia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru terus menunjukkan perkembangan positif sebagai hab penting di selatan negara.

Dengan adanya laluan terus ini, Batik Air menyasarkan untuk merancakkan pergerakan pelancong dan urusan perniagaan antara wilayah utara dan selatan, di samping mengurangkan kebergantungan kepada perjalanan darat yang lebih panjang.

**media[3468314]**

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, pelancaran laluan Pulau Pinang–Johor Bahru mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh rangkaian domestik sejajar dengan perubahan corak perjalanan semasa.

Menurut beliau, kedua-dua bandar tersebut memainkan peranan penting dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perniagaan negara, dan perkhidmatan baharu ini mampu merapatkan lagi hubungan antara keduanya.

Dalam usaha menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, Batik Air turut menegaskan kepentingan memperkukuh kesalinghubungan domestik sebagai pemacu utama pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negara.

“Batik Air akan terus meneroka peluang untuk memperluaskan laluan yang dapat meningkatkan akses antara wilayah utama di Malaysia. Laluan ini merupakan satu lagi langkah ke arah rangkaian domestik yang lebih menyeluruh,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tempahan melalui aplikasi mudah alih Batik Air atau laman sesawang rasmi syarikat penerbangan itu.