

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan, Batik Air Malaysia, menyumbang 3,000 helai selimut untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Johor.
Sumbangan itu diserahkan Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air/Lion Air, Datuk Chandran Rama Muthy kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM))di Subang, dekat sini, hari ini.
Majlis penyerahan itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Batik Air atas sumbangan berkenaan.
‘’Pihak swasta memainkan peranan untuk membantu negara keseluruhannya dalam keadaan senang dan susah. Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Chandran, kepada pihak swasta dan semua pihak dan diharap bantuan ini menjadi contoh kepada pihak swasta yang lain.
“Kita doakan Batik Air agar lebih berjaya sebagai sebuah syarikat swasta yang memainkasn peranan membantu negara,” katanya dalam ucapan ringkas.
Sementara itu, Chandran berkata syarikat berkenaan mengambil inisiatif untuk menyumbang selepas beliau mendapat maklum mengenai bekalan selimut yang tidak mencukupi untuk mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri berkenaan.
‘’Minggu lepas, kami dapat tahu masalah kekurangan selimut untuk mangsa banjir di Johor, maka kami ada lebihan 3,000 helai selimut untuk kegunaan pesawat kami untuk disumbangkan dan akan berusaha sedaya upaya membantu mangsa banjir secara berperingkat,” katanya. -Bernama

