Batuk 2 Minggu Tanpa Henti? Ini Simptom Tibi Yang Anda Perlu Tahu

Health & Fitness
12 Feb 2026 • 1:24 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, wabak virus Nipah menjadi bualan ramai, kini kes penyakit Tuberkulosis (Tibi) pula menjadi kebimbangan ramai. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 2,571 kes Tibi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-5 (ME 5/2026).

Baca Artikel Berkaitan: Kawalan Kesihatan Di Pintu Masuk Negara Dipertingkat, Ini Apa Anda Perlu Tahu Tentang Virus Nipah

Jumlah itu adalah untuk tempoh 1 hingga 7 Feb lepas dengan kadar insiden 7.5 bagi setiap 100,000 penduduk. Jumlah terbabit meningkat 229 kes atau 9.8% berbanding 2,342 kes bagi tempoh sama tahun lepas (2025).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 10 kluster baharu dikesan di tujuh negeri setakat Sabtu lalu (7 Februari), yang mana Johor mencatatkan kes tertinggi iaitu 37 kes.

Manakala Selangor pula mencatatkan bilangan kluster tertinggi dengan empat kluster melibatkan 10 kes.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Kluster Tibi Dikesan Di Johor, Ini Cara Pencegahan & Merawatnya

Tibi Mengundang Maut

Laporan ini pasti menimbulkan kerisauan orang ramai.

Buat anda yang tidak tahu, Tibi adalah penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis yang mana ia merebak melalui udara, terutama sekali melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.

Jangan pandang ringan ya kes ini kerana ia boleh mengundang maut jika ia tidak dirawat.

Memetik Astro Awani, 11 kematian direkodkan di Terengganu dalam tempoh Januari hingga Mei 2025 akibat Tibi.

Bagaimana Tibi Merebak?

Untuk info, Tibi ini boleh merebak melalui empat cara iaitu:

  • Udara
  • Bersin
  • Batuk
  • Berbual dengan orang lain

Gejala & Tanda-tanda Tibi

Menerusi carian kami, pegawai perubatan Dr Nash atau lebih mesra dikenali sebagai Dr Ringkas ada berkongsi tentang simptom-simptom penyakit ini. Antaranya:

  • Batuk melebihi dua minggu
  • Batuk berdarah
  • Sakit dada
  • Lemah, letih dan lesu
  • Penurunan berat badan
  • Kurang selera makan
  • Berpeluh ketika waktu malam
  • Demam

“Kadang-kadang simptom ni nampak macam sikit (simple) je. Tu sebab orang tak nak pergi klinik, beli ubat dekat farmasi je. Tapi sebenarnya salah tau pemikiran macam tu. Kalau dah ada simptom-simptom macam ni, boleh pergi klinik kesihatan yang berdekatan untuk buat pemeriksaan selanjutnya.

“Biasanya kita akan hantar X-ray (dada), dan (lakukan) ujian kahak sebanyak tiga kali. Kalau positif Tibi, biasanya rawatan akan dimulakan terus untuk enam bulan tanpa henti. Tak boleh berhenti ambil ubat, kalau berhenti kuman tu boleh jadi kebal. Itulah kadang-kadang yang boleh menyebabkan kematian.

Kontak Rapat Tibi Perlu Ambil Ujian Darah

Menurut pegawai perubatan itu, sesiapa yang merupakan kontak rapat penghidap Tibi juga akan menjalankan pemeriksaan yang sama dan ditambah sekali dengan ujian darah dipanggil sebagai Interferon-Gamma Release Assay (IGRA).

Ia berfungsi bagi mengesan sama ada badan dijangkiti kuman Tibi atau pun tidak meskipun seseorang itu tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Andai kata IGRA positif, kira akan terus mulakan rawatan biasanya dalam tempoh tiga, enam atau sembilan bulan. Keadaan tu dipanggil sebagai Tibi Laten.”

Tibi Laten Tidak Tunjukkan Gejala

Memetik perkongsian KKM sebelum ini, Tibi Laten merupakan keadaan tindak balas sistem imun badan yang berterusan terhadap rangsangan antigen Mycobacterium Tuberculosis tanpa ada bukti klinikal Tibi aktif.

Penghidap Tibi Laten tidak mempunyai gejala, sentiasa berasa sihat dan tidak menjangkiti orang lain namun boleh menjadi Tibi jika tidak dirawat.

Pakai Pelitup Muka N95 Jika Perlu Jumpa Individu Dijangkiti Tibi

Menurut Dr Ringkas lagi, Tibi ini adalah berbahaya namun jika dapat dikesan awal, rawatan boleh boleh dilakukan segera sekaligus menurunkan risiko individu mengalami simptom serius.

“Kalau kita perlu jumpa sesiapa yang hidap Tibi ni, pastikan pakai pelitup muka N95. Kalau ada temu janji (bersama pakar) pergilah (buat pemeriksaan), kami alu-alukan kedatangan anda,” tambahnya di akhir perkongsian.

image is not available

Baca Artikel Berkaitan: Selamatkan Jutaan Nyawa Dari Virus Maut, Ini Sejarah Dr Wu Lien Teh, Doktor Malaysia Yang Mencipta Face Mask N95

@drringkas

Ringkas berkenaan wabak tibi/tuberculosis #drringkas #doctorsoftiktok #fyp #tuberculosis #tibi

♬ original sound – Dr Ringkas – Dr Ringkas

Tonton video penuh [DI SINI].