
KUALA LUMPUR - Satu mayat reput, dipercayai telah meninggal dunia antara dua minggu hingga sebulan, ditemui dibalut dalam sebuah tilam yang dilipat di dalam sebuah kedai dua tingkat di Pokok Mangga, Melaka, malam tadi.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mayat tersebut yang identitinya masih belum dikenal pasti, ditemui selepas pemilik premis memeriksa bangunan itu apabila tidak dapat menghubungi penyewa.
Ketika memasuki kedai tersebut, pemilik terhidu bau busuk dan menemui bungkusan tilam yang mencurigakan di ruang tamu sebelum menghubungi pihak polis.
Pemeriksaan lanjut menemukan mayat yang sudah reput teruk dengan kedua-dua tangan diikat.
“Berdasarkan keadaan mangsa dan situasi di lokasi kejadian, kami percaya terdapat unsur jenayah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Dzulkhairi berkata siasatan awal mendapati kedai dua tingkat itu disewa seorang wanita sebagai tempat tinggal untuk anaknya.
Polis kemudian menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun, dipercayai anak kepada penyewa, bagi membantu siasatan.
Polis percaya mangsa mempunyai kaitan dengan suspek tersebut, yang didapati positif dadah syabu dan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
Suspek berada dalam keadaan khayal akibat dadah ketika ditahan dan masih belum memberi kerjasama kepada penyiasat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – Getaran, 29 Mei 2026





