Remaja kelar leher, tangan sendiri selepas dihalang keluar teman lelaki

LocalFamily & Parenting
28 May 2026 • 5:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Remaja kelar leher, tangan sendiri selepas dihalang keluar teman lelaki
Dzulkhairi

MELAKA - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak mengelar leher dan kedua-dua lengannya menggunakan pisau dipercayai selepas dihalang keluar bersama teman lelaki dalam kejadian di rumahnya di Jonker Walk di sini pada Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.33 malam, mangsa yang tidak bersekolah itu dipercayai bertindak di luar kawalan kerana berada di bawah pengaruh rokok elektronik jenis ‘mushroom’.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihak polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan tekanan emosi selepas ibu angkatnya menghalang remaja terbabit keluar bersama teman lelaki berusia 17 tahun.

“Berang dengan tindakan itu, mangsa dipercayai mencederakan diri sendiri dengan mengelar kedua-dua belah lengan dan leher menggunakan sebilah pisau.

“Ibu angkat mangsa turut mendakwa remaja itu berada di bawah pengaruh vape jenis ‘mushroom’ sehingga bertindak di luar kawalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan awal di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan keluar wad pada Selasa.

Tambah beliau, siasatan turut mendapati teman lelaki mangsa dipercayai individu yang membekalkan vape berkenaan kepada remaja itu.

“Ibu angkat mangsa telah merampas rokok elektronik itu bagi melarang mangsa menghisapnya.

“Mangsa dipercayai mula terjebak dengan tabiat itu sejak Februari lalu selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya,” katanya.

Ujarnya, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan, namun polis membuka siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mendapatkan keterangan penuh serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.