
KUALA LUMPUR – Tular di media sosial perkongsian lucu oleh pengguna Threads, @shafiqapek1486, yang mencuri perhatian ramai apabila insiden tidak disangka berlaku ketika dia membawa kek sempena sambutan hari lahir majikannya.
Menerusi kapsyen yang dimuat naik, dia menulis:
“Kejadian petang nie.. aku bawak kek untuk boss aku sekali terjatuh.. kek masuk mulut.. sempat aku makan dulu sebelum birthday boy potong.. ”
Difahamkan, dia dipercayai tersadung ketika sedang membawa kek berkenaan sebelum kek itu terkena dirinya sendiri dalam keadaan yang cukup spontan dan mencuit hati.
Walaupun situasi tersebut mungkin memalukan pada awalnya, reaksi santai dan bersahajanya membuatkan ramai netizen terhibur. Ada yang berseloroh mengatakan dia sempat ‘rasa dulu’ sebelum kek dipotong secara rasmi, malah bergurau kononnya makan pun tak sempat pilih tempat sampai “lantai pun jadi”.
Netizen Prihatin Keadaan Diri
Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang mengaku serba salah untuk ketawa, namun tetap tidak dapat menahan gelak melihat kejadian tersebut. Rata-rata menyifatkan ia sebagai momen spontan yang jarang berlaku dan memang mencuit hati.
Bagaimanapun, ada juga yang lebih prihatin terhadap keadaannya selepas terjatuh. Mereka bertanya sama ada dia terlanggar meja atau mengalami kecederaan serius ketika insiden itu berlaku.
Menjawab persoalan tersebut, individu berkenaan memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan baik dan hanya mengalami sedikit lebam pada lutut. Malah, dia turut menjelaskan bahawa tiada kesakitan serius kerana ramai yang segera tampil membantu selepas kejadian itu.
Walaupun kek berkenaan mungkin tidak lagi sempurna seperti dirancang, kejadian itu tetap menjadi momen mencuit hati yang menghiburkan ramai. Mujur tiada kecederaan serius dilaporkan, kek mungkin boleh ditempah semula, namun insiden tidak dijangka sebegini pastinya menjadi kenangan yang sukar dilupakan. – The Malaysian Update
