Bayar mahal biar berbaloi

LocalFootball
22 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bayar mahal biar berbaloi

MALAYSIA khususnya Harimau Malaya memerlukan pengendali yang mampu meninggalkan legasi dan bukannya sekadar tahu untuk mencipta nama untuk kepentingan peribadi bersama pasukan kebangsaan.

Tanpa menafikan keperluan untuk mendapatkan kemenangan di pentas antarabangsa, jurulatih yang bakal dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) nanti harus bersedia untuk menggalas tanggungjawab tambahan, bukannya terhad kepada merangka perancangan buat skuad senior negara.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berkata, selain mengembalikan keyakinan peminat, ada beberapa lagi kriteria yang perlu digalas oleh jurulatih, antaranya berkongsi ilmu bersama jurulatih tempatan dan membina pemain muda lebih berkualiti.

“Kehendak pun kena selari dengan bajet, kita faham sekarang FAM pun dalam keadaan bajet yang ketat. Jadi, sudah tidak ada lagi macam sebelum ni, mewah berbelanja untuk nak dapatkan jurulatih terbaik.

“Pertama sekali FAM kena dapatkan jurulatih yang mampu mengembalikan balik keyakinan penyokong, kena terbabit secara teknikal dengan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sebab pemain ini yang akan gantikan pemain senior sedia ada.

“Jurulatih yang datang mesti mampu membangunkan jurulatih tempatan. Kita tidak mahu macam sebelum ini lagi, bayar mahal-mahal, tetapi hanya untuk pasukan kebangsaan saja,” katanya.

Zakaria juga berpendapat, terbabit dalam kerja membangunkan pemain muda dilihat sebagai tuntutan penting kerana Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara kuasa besar lain yang sentiasa mampu melahirkan pelapis berkelas tinggi.

“Jangan nak jadi macam negara yang sudah bagus sangat dalam bola sepak seperti di Eropah atau Jepun yang satu jurulatih jaga senior saja. Kita kena ikut acuan kita, kena akui bahawa tidak ramai junior yang boleh masuk pasukan senior.

“Kita nak pemain B-23 boleh bagi cabaran kepada pemain senior seperti Arif Aiman untuk rebut tempat. Itu yang kita nak jurulatih yang mampu motivasi, membentuk dan lahirkan pemain-pemain baharu,” katanya.

 

The post Bayar mahal biar berbaloi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved