Bayaran Denda RM50 Juta Belum Dibuat, Tahanan Rumah Najib Belum Berkuat Kuasa 

LocalPolitics
21 Sep 2026 • 8:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bayaran Denda RM50 Juta Belum Dibuat, Tahanan Rumah Najib Belum Berkuat Kuasa 

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan tahanan rumah bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, masih belum bermula berikutan denda RM50 juta yang ditetapkan masih belum dibayar.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, keluarga Najib masih belum menjelaskan bayaran berkenaan setakat semalam.

Beliau berkata, denda itu perlu dibayar di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, iaitu mahkamah tempat kes berkenaan bermula dan dibicarakan.

“Setakat semalam, keluarga Datuk Seri Najib masih belum membayar denda itu. Bayaran perlu diselesaikan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana kes berkenaan bermula dan dibicarakan di situ.

“Selepas bayaran dibuat, saya tidak dapat memastikan dengan tepat bila Datuk Seri Najib akan dibawa pulang. Ia mungkin mengambil sedikit masa,” katanya.

Dusuki berkata, jumlah denda RM50 juta itu tertakluk kepada kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Jabatan Penjara akan menetapkan secara terperinci semua syarat yang perlu dipatuhi Najib bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

Jumaat lalu, Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib kini menjalani hukuman penjara berhubung kesalahan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, kes berasingan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan beliau masih dalam proses rayuan di Mahkamah Rayuan. - Getaran, 21 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved