
KUALA LUMPUR: Tiada pagar besi atau kawalan keselamatan ketat akan dipasang di kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta di sini sekiranya bekas Perdana Menteri itu menjalani tahanan rumah di sana.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, aspek kawalan keselamatan akan dibahagikan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Penjara Malaysia (Jabatan Penjara).
Menurutnya, pihak Jabatan Penjara akan bertanggungjawab terhadap kawalan di bahagian dalam kediaman, manakala polis mengawal aspek keselamatan di bahagian luar.
“Tiada (pagar besi). Kawalan adalah seperti biasa.
“Pihak penjara akan bertanggungjawab di bahagian dalam, manakala pihak polis akan bertanggungjawab di bahagian luar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat bersama beberapa pegawai Jabatan Penjara di kediaman Najib di Langgak Duta, di sini hari ini.
Anuar Bakri berkata, mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan aspek keselamatan dan menilai kesesuaian kediaman berkenaan sekiranya diputuskan sebagai lokasi tahanan rumah Najib.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan hari ini turut membabitkan penilaian terhadap tempat tinggal berkenaan dari aspek keselamatan yang menjadi bidang tugas polis, manakala aspek berkaitan tahanan akan ditentukan oleh Jabatan Penjara.
Bagaimanapun, keputusan mengenai pelaksanaan tahanan rumah itu masih belum dimuktamadkan kerana pihak polis belum menerima perintah rasmi berhubung perkara berkenaan.
“Pihak penjara minta pihak polis hadir bersama untuk melihat dari segi aspek kita, iaitu aspek keselamatan. Dari segi aspek tahanan, pihak penjara yang akan menentukan.
“Belum ada keputusan yang dimuktamadkan. Kita masih menunggu perintah itu dan ia akan dimuktamadkan apabila perintah berkenaan disempurnakan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa kenderaan rasmi kerajaan mula memasuki pekarangan kediaman bekas Perdana Menteri itu sejak kira-kira pukul 2 petang tadi.
Kereta membawa Anuar Bakri tiba di pada pukul 2.20 petang manakala pegawai Jabatan Penjara dilihat memasuki pekarangan rumah pada kira-kira pukul 3.15 petang.
Difahamkan, pertemuan itu antara lain membincangkan prosedur dan aspek keselamatan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah, termasuk kawalan keselamatan terhadap tahanan.- UTUSAN
The post Tiada pagar besi akan dipasang di rumah Najib appeared first on Utusan Malaysia.






