
KUALA LUMPUR – Inisiatif bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Belanjawan 2027 dijangka membantu meringankan beban kewangan peminjam, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan Madani Kelima Tahun 2027.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan komitmen pembayaran balik pinjaman pendidikan disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam.
“Kerajaan menyediakan inisiatif penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN pada tahun 2027 yang akan memanfaatkan lebih 400,000 peminjam dan bayaran balik minimum RM50 sebulan bagi peminjam berpendapatan rendah.
“Pelaksanaan inisiatif ini tertakluk kepada pengesahan maklumat pendapatan melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, peminjam berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan layak mendapat penangguhan bayaran balik, manakala peminjam yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan hanya dikenakan bayaran minimum RM50.
Selain itu, katanya, diskaun sebanyak 10 peratus turut diberikan kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan serta membuat bayaran balik secara konsisten dan teratur.
Norliza berkata, inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun depan itu bertujuan menggalakkan pembayaran balik secara berterusan selain mengurangkan risiko tunggakan pinjaman.
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut memperkenalkan potongan cukai kepada majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja masing-masing bagi tempoh Januari 2027 hingga Disember 2028.
“Inisiatif ini menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu mengurangkan beban hutang pekerja sekali gus memperkukuh kebajikan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Bayaran minimum PTPTN RM50 ringankan beban peminjam appeared first on Kosmo Online.






