Peminjam PTPTN Berpendapatan RM2,500 Layak Penangguhan Bayaran Balik

LocalPersonal Finance
11 Oct 2026 • 8:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Peminjam PTPTN Berpendapatan RM2,500 Layak Penangguhan Bayaran Balik

KUALA LUMPUR - Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpendapatan sehingga RM2,500 sebulan layak mendapat penangguhan bayaran balik pinjaman, manakala mereka yang berpendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 perlu membuat bayaran minimum RM50.

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, kelayakan bagi kemudahan penangguhan itu akan ditentukan berdasarkan maklumat pendapatan yang disahkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan untuk memastikan komitmen pembayaran balik pinjaman disesuaikan dengan kemampuan kewangan peminjam.

“Ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan komitmen pembayaran balik dapat diselaraskan dengan kemampuan kewangan peminjam,” katanya dalam satu kenyataan.

Inisiatif penangguhan bayaran balik itu dijadualkan dilaksanakan tahun depan menerusi pembentangan Belanjawan 2027 dan dijangka memanfaatkan lebih 400,000 peminjam di seluruh negara.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menawarkan diskaun 10 peratus kepada peminjam aktif yang tidak mempunyai tunggakan dan membuat bayaran balik secara konsisten.

Norliza berkata, insentif itu bertujuan menggalakkan pembayaran balik secara berterusan selain mengurangkan risiko kegagalan membayar pinjaman.

Selain itu, majikan yang membuat bayaran balik pinjaman PTPTN bagi pihak pekerja mereka akan diberikan potongan cukai bagi pembayaran yang dibuat antara Januari 2027 hingga Disember 2028.

Menurutnya, langkah itu bertujuan menggalakkan penglibatan majikan dalam membantu meringankan beban hutang pekerja serta meningkatkan kesejahteraan mereka.

Beliau berkata, PTPTN akan mengumumkan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan inisiatif berkenaan dalam masa terdekat. - Getaran, 11 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved