Bayern terus kuasai aksi trofi

FootballSports
24 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Bayern terus kuasai aksi trofi

DORTMUND – Bayern Munich meneruskan penguasaan dalam Piala Super Jerman apabila mempertahankan trofi itu selepas menundukkan Borussia Dortmund dengan Michael Olise menjadi watak utama menerusi satu gol dan satu bantuan jaringan di Signal Iduna Park, kelmarin.

Bayern yang turun selaku juara bertahan menguasai permainan sejak awal dengan Olise cukup aktif mengucar-kacirkan pertahanan Dortmund dari sebelah kanan, malah pelawat mencatat 64 peratus penguasaan bola serta lapan percubaan pada babak pertama.

Tekanan berterusan skuad kendalian Vincent Kompany akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-28 apabila gerakan Olise di dalam kotak penalti menyaksikan bola terlepas kepada Nathaniel Brown yang melepaskan rembatan untuk menewaskan Gregor Kobel.

Jaringan itu cukup istimewa buat Brown apabila pemain baharu Bayern tersebut meledak gol kompetitif pertamanya bersama kelab selepas diberikan peranan luar kebiasaan sebagai pemain No. 10 oleh Kompany.

Dortmund berpeluang menyamakan kedudukan menerusi tandukan Ramy Bensebaini hasil hantaran Julian Ryerson pada minit ke-42, namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid sebelum keputusan itu disahkan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Olise kemudian menghukum kesilapan Jobe Bellingham pada masa kecederaan babak pertama apabila merampas bola di bahagian tengah sebelum melakukan gerakan ke depan dan menewaskan Kobel untuk meletakkan Bayern selesa 2-0.

Dortmund cuba memberikan reaksi selepas rehat dengan Niko Kovac melakukan beberapa pertukaran, manakala Konstantinos Karetsas turut menguji Manuel Neuer pada minit ke-52, namun Bayern kekal berbahaya menerusi serangan balas.

Bayern akhirnya memastikan kelebihan tersebut kekal untuk mempertahankan Piala Super Franz Beckenbauer dengan Olise muncul antara watak paling menyerlah selepas terlibat secara langsung dalam kedua-dua jaringan kemenangan pasukannya. – AGENSI

 

The post Bayern terus kuasai aksi trofi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved