Bayi 11 Bulan Ditemui Maut, Lemas Dalam Baldi Berisi Air

LocalFamily & Parenting
27 May 2026 • 3:40 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bayi 11 Bulan Ditemui Maut, Lemas Dalam Baldi Berisi Air

KUALA LUMPUR - Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan meninggal dunia selepas ditemui lemas dalam baldi berisi air di belakang sebuah rumah di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Yatim Osman berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.22 malam.

Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa dijaga neneknya sejak kira-kira jam 9 pagi sementara ibu bapanya keluar bekerja. 

“Pada kira-kira jam 2.30 petang, mangsa sedang tidur di dalam buaian manakala neneknya sedang memasak dan menyidai pakaian, sebelum wanita itu menyedari bayi tersebut tiada di dalam buaian.

“Bayi itu kemudian ditemui di dalam baldi yang mengandungi air sabun dalam keadaan kepala ke bawah,” katanya hari ini.

Mohd Yatim berkata, mangsa kemudian dibawa ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja’afar dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 4.30 petang.

Katanya, bedah siasat telah dijalankan awal pagi tadi, namun punca kematian masih belum dapat dipastikan kerana masih  menunggu keputusan ujian makmal.

Mohd Yatim berkata, polis susulan kejadian telah menahan seorang wanita tempatan berusia 54 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Sinniah Rajoo di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Getaran, 27 Mei 2026