Bayi Maut Akibat Tekanan Pada Leher

LocalFamily & Parenting
21 May 2026 • 6:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bayi Maut Akibat Tekanan Pada Leher

KUALA LUMPUR - Bedah siasat ke atas seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan yang meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di Bandar Sri Sendayan, Seremban mengesahkan terdapat tekanan pada bahagian leher mangsa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata, hasil itu diperoleh menerusi pemeriksaan forensik selama lima jam yang dijalankan di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau semalam.

“Bedah siasat yang dijalankan oleh Dr Akma Nurain Fairuz Mahamad Arif bermula jam 11 pagi hingga 4 petang mengesahkan terdapat tekanan pada bahagian leher kanak-kanak malang itu. 

“Bagaimanapun, polis masih menunggu keputusan ujian lanjut,” katanya hari ini.

Susulan kejadian, seorang pengasuh wanita berusia 38 tahun direman selama enam hari sehingga 25 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siasatan mendapati wanita terbabit tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dipercayai menjalankan perkhidmatan menjaga kanak-kanak secara persendirian dengan bayaran.

Menurut polis, bayi terbabit berada di bawah jagaan wanita itu sejak Disember tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Selasa, ibu mangsa membuat laporan polis selepas menerima panggilan telefon daripada pengasuh memaklumkan anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Siasatan awal mendapati bayi itu dipercayai diletakkan tidur di dalam buaian bersama puting silikon ketika kejadian.

Dalam pada itu, pihak polis berkata, siasatan lanjut masih dijalankan sementara menunggu keputusan ujian forensik dan makmal. - Getaran, 21 Mei 2026

View Original Article