
KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori yang dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di persimpangan Kampung Sadek, Baling awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, pihaknya menerima panggilan daripada kakitangan Hospital Baling kira-kira jam 12.20 tengah malam yang memaklumkan mengenai kematian mangsa.
Menurutnya, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Baling, selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran persimpangan Jalan Baru Kulim/Baling/Gerik.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun bersama isterinya, 41, serta bayi mereka yang berusia lima bulan dari arah Gerik menghala ke Kupang.
“Pada masa sama, sebuah lori dipandu lelaki tempatan berusia 43 tahun dari arah sama sedang menuju ke Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta bersama dua penumpang mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, bayi lelaki yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan hospital berkenaan,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi tujuan bedah siasat.
“Pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian saringan air kencing awal mendapati suspek positif dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian.
Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000. - Getaran, 8 Mei 2026
