
TUMPAT – Sebuah premis dobi layan diri di Pasar Besar Wakaf Bharu di sini mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang wanita berusia lingkungan 50-an dipercayai hilang kawalan ketika melakukan pusingan-U sebelum merempuh premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati pemandu terbabit dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja ketika membuat pusingan berkenaan.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas lalu merempuh pintu kaca hadapan premis dobi sehingga pecah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.






