
Bayi Cedera Tercampak Keluar Dari Kereta Dalam Kemalangan Libatkan Dua Kenderaan
MELAKA, 2 Jun (Bernama) -- Seorang bayi lelaki berusia kira-kira sebulan cedera selepas tercampak keluar dari kenderaan dinaiki dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (Lebuh AMJ) berhampiran sebuah stesen minyak di Balai Panjang, di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintenden Halim Abas berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, kereta Proton Saga dinaiki mangsa bersama ibu dan bapanya keluar dari kawasan stesen minyak berkenaan memasuki Lebuh AMJ sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan.
"Akibat kemalangan itu, bayi itu yang berada dalam pangkuan ibunya di bahagian tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kereta tersebut di kawasan berumput berhampiran lokasi kejadian.
"Bayi berkenaan dilaporkan mengalami bengkak di bahagian kepala manakala ibunya mengalami sakit belakang sementara bapanya tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baca juga:
Kanak-kanak Perempuan Antara Empat Maut Kemalangan Di Simpang Renggam
Kemalangan Maut Simpang Renggam: Loke Gesa Siasatan Disegerakan
Dua Mangsa Kemalangan Simpang Renggam Penerima Pertama LINDUNG 24 Jam
Beliau berkata kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka dan dibenarkan pulang selepas keadaan mereka disahkan stabil.
Halim berkata polis mengenal pasti kenderaan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Insp Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-26905852 bagi membantu siasatan.






