
KERIANGAN untuk menyambut Aidilfitri bersama anak sulung berubah menjadi kesedihan yang amat mendalam bagi seorang bapa apabila bayi lelaki berusia empat bulan maut dipercayai akibat didera di sebuah pusat jagaan.
Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, masih teringat panggilan video terakhir bersama anaknya, Hayl Haarith, pada malam sebelum tragedi itu berlaku. Bayi itu kelihatan ceria dan tersenyum riang, namun pagi esoknya, segalanya berubah.
“Saya tidak menyangka itu adalah panggilan terakhir kami. Malam itu dia masih ceria, sebelum isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, bertugas sebagai jururawat,” luah Mohd Syafaeez ketika ditemui di tanah perkuburan.

Kegembiraan bertukar pilu apabila kira-kira jam 4 pagi, pihak taska menghubungi keluarga memaklumkan bahawa Hayl Haarith ditemukan lemas ketika tidur. Hati bapa itu luluh apabila berita duka itu disahkan oleh isterinya sekitar jam 5.40 pagi.
Memetik Sinar Harian, pada mulanya, Mohd Syafaeez menyangka kematian anaknya adalah kematian biasa tanpa unsur jenayah.
Namun keputusan bedah siasat mengejutkan keluarga apabila terdapat beberapa kesan kecederaan pada kepala, mata, hidung, dan bahagian kanan muka.
“Selain itu, terdapat luka pada kulit kepala seolah-olah terkena hentakan objek tumpul. Saya tidak akan sesekali memaafkan individu yang bertanggungjawab atas kematian anak saya,” tegas beliau dengan nada tegas.

Bapa ini menegaskan bahawa beliau akan menuntut keadilan agar tragedi yang menimpa keluarga mereka tidak berulang kepada keluarga lain.
Unsur penderaan
Lebih memilukan, hasrat Mohd Syafaeez untuk membawa isteri dan anaknya membeli pakaian baru bagi menyambut Aidilfitri musnah.
“Saya rasa sedih dan terkilan kerana tidak sempat merealisasikan hasrat untuk membeli pakaian raya bersama mereka. Saya pasrah atas apa yang berlaku,” katanya lagi.
Jenazah Hayl Haarith selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut dan Rhu Redang kira-kira jam 10 pagi pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bayi meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah pusat jagaan kanak-kanak 24 jam dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang. Keluarga mendakwa rakaman CCTV dari pusat jagaan menunjukkan terdapat unsur penderaan terhadap mangsa. Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.


