SEBERANG JAYA - Punca kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di sini pada Isnin masih belum dapat dipastikan susulan keputusan awal bedah siasat yang tidak menunjukkan sebab jelas kematian.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, bayi berkenaan sebelum itu dibawa oleh seorang penjaga dari pusat jagaan kanak-kanak yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya ke hospital berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.20 pagi.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pegawai perubatan hospital kira-kira jam 6.10 pagi pada hari sama.
“Susulan laporan tersebut, polis menjalankan siasatan lanjut di premis pusat jagaan berkenaan selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal membawa kepada penahanan dua wanita yang merupakan pekerja di pusat jagaan kanak-kanak terbabit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kes berkenaan kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki mempunyai unsur jenayah.
Tambahnya, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa sebelum mahkamah membenarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 16 Mac bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, Helmi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut kerana ia boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi memastikan semua pihak yang terlibat dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut kes bunuh susulan kematian bayi lelaki tersebut.
Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez ditemukan tidak sedarkan diri di pusat jagaan bayi 24 jam yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya pada awal pagi Isnin.
Bayi itu kemudian dikejarkan ke jabatan kecemasan hospital berkenaan kira-kira jam 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30 yang juga jururawat bertugas syif malam menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.
Pasukan perubatan dilaporkan menjalankan prosedur resusitasi kardiopulmonari selama kira-kira sejam bagi menyelamatkan mangsa namun bayi tersebut gagal diselamatkan.
Difahamkan, bayi berkenaan baru sahaja dihantar ke pusat jagaan itu selepas ibunya kembali bertugas selepas tamat tempoh berpantang.
Mangsa juga merupakan anak sulung pasangan berkenaan.
Sementara itu, keluarga bayi terbabit menuntut keadilan atas kematian kanak-kanak tersebut.
Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, menegaskan bahawa dia tidak akan memaafkan individu yang bertanggungjawab terhadap kematian anaknya.


