Bayi empat bulan melecur kepala, kaki, rumah terbakar

12 May 2023 • 4:38 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

PAPAR, 12 MEI: Bayi lelaki berusia empat bulan melecur di kepala dan kaki dalam kebakaran sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis, di sini, hari ini.

Mangsa, Raid Syakif dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.25 pagi, lapor Harian Metro.

Katanya seramai 15 pegawai dan anggota bersama dua jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan Papar digerakkan ke tempat kejadian.

image is not available
Anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran sebuah rumah di Pekan Lama Kimanis, Papar pada 12 Mei 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

“Kebakaran membabitkan rumah jenis tidak kekal dua tingkat yang terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bayi berusia empat bulan yang melecur dilaporkan oleh penyelia operasi.

“Mangsa dihantar ke Hospital Papar oleh keluarganya sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.

“Operasi terkawal jam 9.35 pagi dan tamat sepenuhnya 12 tengah hari,” katanya.