
KLUANG: Penuntut kolej yang dipercayai terlibat dalam kejadian penemuan mayat seorang bayi perempuan dalam mangkuk tandas di Taman Setia Mutiara, di sini disambung reman sehari lagi, bermula hari ini sehingga esok.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurasidah A. Rahman bagi membantu siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 315 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, lelaki berusia 19 tahun itu tiba di Mahkamah Majistret Kluang, di sini pada pukul 8.40 pagi.
Lelaki itu yang diwakili peguam bela Ramesh Vasan sebelum itu dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula 30 Julai hingga hari ini.
Pada 29 Julai lalu, lelaki berkenaan ditahan polis kira-kira pukul 2 petang selepas menerima laporan mengenai seorang penuntut wanita yang dimasukkan ke hospital kerana dipercayai baharu melahirkan anak.
Siasatan lanjut di rumah sewa didiami penuntut wanita terbabit membawa kepada penemuan mayat seorang bayi perempuan yang sudah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan tikaman pada badan bayi tersebut.
Penuntut kolej wanita tersebut masih ditahan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang bagi mendapatkan rawatan.-UTUSAN
The post Bayi perempuan ditemui mati dengan kesan tikaman, pelajar kolej direman sehari lagi appeared first on Utusan Malaysia.




