Ibu bapa kepada bayi pramatang, Jahxy Peets, telah mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah hospital di Orlando, Florida, dengan mendakwa pihak hospital cuba menyembunyikan kecederaan serius yang dialami bayi mereka semasa di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
Menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada 17 Oktober, mereka mendakwa leher bayi mereka patah semasa dalam penjagaan hospital, yang akhirnya menyebabkan kematian.
Jahxy dilahirkan pada usia kandungan 24 minggu di Orlando Health Winnie Palmer Hospital for Women & Babies pada Jun 2022. Bayi tersebut dimasukkan ke NICU dan intubasi sejurus selepas kelahiran. Namun, dua minggu kemudian, seorang penjaga kesihatan di hospital tersebut didakwa secara tidak sengaja mematahkan leher Jahxy semasa mengendalikannya, kemudian mengembalikan bayi tersebut ke dalam inkubator tanpa memberitahu kakitangan lain.
Akibat kecederaan leher tersebut, Jahxy mengalami kecederaan pada saraf tunjang yang melumpuhkannya, dan ini menyebabkan dia berhenti menggerakkan tangan dan kaki. Beberapa bulan kemudian, pada 25 November 2022, Jahxy meninggal dunia akibat kegagalan organ selepas tidak dapat bernafas sendiri.
Peguam keluarga Jahxy, Nicole Kruegel, menjelaskan bahawa pihak hospital tersebut telah mengakui bertanggungjawab di atas kematian Jahxy. Namun, di bawah undang-undang Florida, pengakuan ini secara automatik menghadkan jumlah pampasan yang boleh diterima oleh keluarga, sekiranya kes tersebut diselesaikan melalui proses arbitrasi (penyelesaian luar mahkamah).
Ibu bapa Jahxy menolak penyelesaian ini kerana ingin memperjuangkan keadilan untuk mengetahui kebenaran di sebalik kematian anak mereka.
Menurut Kruegel, tiada laporan polis atau penyiasatan dijalankan berhubung kecederaan leher Jahxy, dan individu yang terlibat dalam kejadian itu mungkin masih bekerja di NICU.
Ibu bapa Jahxy kini menuntut lebih daripada $50,000 dalam bentuk ganti rugi dan meminta agar kes ini dibawa ke perbicaraan juri. Pihak hospital Orlando Health enggan memberi komen lanjut mengenai kes ini kerana ia masih dalam proses undang-undang.
Sumber: Miami Herald
The post Bayi pramatang maut, leher patah akibat kecuaian kakitangan hospital, ibu bapa failkan saman appeared first on The Reporter.



