SEREMBAN - Bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia ketika sedang tidur di dalam buaian di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu jam 10 malam.
"Pengadu memaklumkan telah menerima panggilan daripada pengasuh anak lelakinya yang memberitahu bayi berusia berumur tujuh bulan itu tidak sedarkan diri.
"Mangsa kemudiannya telah dibawa ke klinik swasta berhampiran Bandar Sri Sendayan dan seterusnya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini menaiki ambulans," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, doktor yang bertugas dilaporkan berusaha melakukan bantuan pernafasan (CPR) sebelum bayi itu disahkan sudah meninggal dunia.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati, bayi terbabit telah dijaga pengasuh sejak Disember 2025.
"Ketika kejadian, pengasuh dipercayai menidurkan bayi itu di dalam buaian dengan mulutnya diberikan puting jenis silikon," katanya.
Beliau berkata, mayat bayi itu telah dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian, manakala pengasuhnya ditahan untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Justeru katanya, orang awam disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan pihak polis.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana yang terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang," katanya.


