'Kepalanya terputus, berada di bawah kaki...' Lepasan SPM maut nahas tragis, bapa pilu impian anak sambung bidang automotif tak kesampaian

20 May 2026 • 8:22 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Kepalanya terputus, berada di bawah kaki...' Lepasan SPM maut nahas tragis, bapa pilu impian anak sambung bidang automotif tak kesampaian

VIDEO memaparkan kemalangan ngeri di Kuala Terengganu melibatkan kereta Golf GTI dan sebuah van jenis Nissan Vanette meruntun hati ramai apabila penumpang hadapan van, Wah Han Keong, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Melihat anak pergi selamanya di depan mata, Wah Tee Tun, 49, sempat mengimbas kembali rempuhan kuat kereta yang hilang kawalan menyebabkan sebatang tiang lampu patah sebelum melayang dan menembusi van dinaiki mereka.

“Kesan rempuhan itu agak kuat menyebabkan sebatang tiang lampu patah dan melayang menjunam ke arah van kami lalu terkena tepat pada leher anak saya.

“Badannya tidak mengalami kecederaan lain,” katanya kepada Sinar Harian dalam nada sebak.

Image from: 'Kepalanya terputus, berada di bawah kaki...' Lepasan SPM maut nahas tragis, bapa pilu impian anak sambung bidang automotif tak kesampaian

Bapa kepada dua cahaya mata tersebut berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.36 petang itu, mereka dalam perjalanan ke bandar untuk melakukan kerja-kerja pendawaian.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju sebelum terbabas, melanggar pembahagi jalan dan merempuh van mereka.

“Saya cuba panggil dan menggerakkan badan anak saya, tetapi saya dapati kepalanya sudah terputus dan berada di bawah kaki,” kongsinya lagi.

Minat automotif

Tee Tun turut pilu mengenangkan impian anaknya yang ingin menyambung bidang automotif tidak kesampaian.

Mendiang Han Keong yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sedang menunggu keputusan permohonan menyambung pengajian dalam jurusan tersebut melalui Unit Pusat Universiti (UPU).

Image from: 'Kepalanya terputus, berada di bawah kaki...' Lepasan SPM maut nahas tragis, bapa pilu impian anak sambung bidang automotif tak kesampaian

"Keputusan UPU sepatutnya keluar dalam sehari dua lagi iaitu pada 22 Mei ini. Segala persiapan telah  dilakukan, namun kami reda perancangan untuk melihatnya menyambung pengajian tidak kesampaian," kongsinya lagi.

Han Keong berhajat untuk melanjutkan pengajian di Politeknik Dungun atau di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

Anak yang baik

Memuji sikap mendiang yang rajin dan jujur, Tee Tun turut mendedahkan, remaja berkenaan sangat rapat dan manja dengan isterinya.

Jelasnya lagi, keluarga akan mengambil tindakan undang-undang melalui peguam kerana insiden tersebut bukan berpunca daripada mereka sementelah mempunyai rakaman video sebagai bukti kejadian.

Mayat mendiang dijadualkan dibawa ke Kelantan pada Khamis untuk urusan pengebumian.

Kronologi kemalangan

Image from: 'Kepalanya terputus, berada di bawah kaki...' Lepasan SPM maut nahas tragis, bapa pilu impian anak sambung bidang automotif tak kesampaian

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor pada khamis memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 4.12 petang.

"Siasatan mendapati kereta dipandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang bergerak dari arah Bandar Kuala Terengganu menghala ke Muzium Losong.

"Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tiang JKR,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, akibat pelanggaran itu, kereta terbabit memasuki laluan bertentangan lalu merempuh van yang datang dari arah Taman Manir menghala ke Bandar Kuala Terengganu.

"Tiang JKR yang dilanggar turut terjatuh dan tertembus masuk ke dalam van sehingga terkena penumpang hadapan.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Azli berkata, pemandu van berusia 49 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang menaiki kereta mengalami kecederaan ringan.

Sementara itu, empat lagi penumpang kereta termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Sinar Harian 1, 2, 3