
KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperutukkan sebanyak RM12,000 bagi menaja keperluan penjagaan dua ekor helang merah yang berada di bawah jagaan Zoo Negara.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, penajaan itu termasuk aspek pemakanan, pengurusan harian serta rawatan veterinar berkala menerusi Inisiatif Sang Perkasa.
Menurutnya, pemilihan helang merah yang diberi nama Bayu dan Bara itu mempunyai kaitan rapat dengan identiti serta logo baharu AKPS.
“Bayu bermaksud angin yang melambangkan kebebasan, kelincahan dan ketangkasan serta keupayaan bergerak pantas merentasi ruang.
“Bara pula melambangkan api yang membara, semangat juang yang tinggi, keberanian, ketegasan dan kekuatan yang tidak mudah luntur,” katanya ketika berucap pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, simbol tersebut turut mencerminkan keteguhan integriti dan jati diri warga AKPS dalam mempertahankan pintu masuk negara tanpa gentar serta tanpa kompromi.
Katanya, Inisiatif Sang Perkasa tercetus susulan lawatan kerja delegasi AKPS ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak pada 21 Julai lalu.
“Lawatan tersebut membuka ruang interaksi yang amat bermakna bagi AKPS untuk meninjau fungsi pusat berkenaan di samping memperkukuh kerjasama strategik bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Bertitik tolak daripada pendedahan tersebut, AKPS mengorak langkah proaktif untuk mengenal pasti Zoo Negara Malaysia sebagai rakan kolaborasi bagi melaksanakan program pengangkatan dan penajaan hidupan liar yang pertama buat agensi kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif berkenaan bukan sekadar melambangkan identiti AKPS, malah menjadi manifestasi sokongan agensi tersebut terhadap usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi negara.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya menolak pembelian haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram selain menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti penyeludupan.
“Khazanah ini adalah amanah generasi kita untuk diwariskan kepada anak cucu pada masa akan datang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Bayu, Bara jadi simbol keberanian dan ketegasan warga AKPS appeared first on Kosmo Online.


