Jangan takut dedah salah laku! Shuhaily janji lindungi pegawai AKPS demi integriti

23 Nov 2026 • 4:26 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi jaminan akan mempertahankan pegawai agensinya yang berani tampil mendedahkan salah laku, termasuk perbuatan yang melibatkan pihak atasan.

Menurutnya, keberanian melaporkan kegiatan yang menyalahi undang-undang amat diperlukan bagi membawa perubahan terhadap budaya kerja serta memperkukuh integriti dalam AKPS.

Beliau berkata, tindakan seorang pegawai wanita AKPS yang mendedahkan salah laku pegawai atasannya baru-baru ini membuktikan bahawa perubahan dalam organisasi boleh bermula daripada keberanian seorang individu.

“Saya akan menemui beliau dalam masa terdekat ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih… keberanian seperti ini yang kita perlukan.
“AKPS hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang sedang berlaku di lapangan. Keberanian seperti ini adalah titik permulaan kepada perubahan yang ingin kita bawa.
“Dan untuk mendapat seorang pegawai yang dapat menghayatinya dengan sepenuh jiwa, ia adalah satu penghormatan untuk beliau berkhidmat bersama saya.
“Beliau sedang melawan arus dan saya akan sentiasa ada bersama beliau untuk mempertahankannya. Itulah janji saya kepadanya,”ujar beliau.

May be an image of one or more people and text

Beliau mengulas kes penahanan seorang penjawat awam berusia lingkungan 40-an yang disyaki membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah melalui kaunter Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi sebelum ini memaklumkan bahawa kes berkenaan dikesan oleh AKPS sebelum laporan polis dibuat pada 17 November lalu.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh.

Beliau turut berharap pihak polis dapat membongkar kemungkinan wujudnya rangkaian jenayah lebih besar yang mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

“Saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.
“Tangkap berapa ramai pun yang mahu ditangkap. Saya rasa sudah cukup, rakyat Malaysia juga sudah muak dengan kegiatan seperti ini,” katanya.

May be an image of hornbill and text

Bagaimanapun, Mohd Shuhaily enggan mengulas lanjut mengenai modus operandi kegiatan berkenaan, termasuk kemungkinan wujudnya aktiviti counter setting, memandangkan siasatan masih dijalankan.

Suspek difahamkan ditahan oleh PDRM di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Jaminan Mohd Shuhaily untuk mempertahankan pegawai yang berani melaporkan salah laku itu memperlihatkan komitmen kepimpinan AKPS dalam menggalakkan budaya integriti serta memperkukuh usaha membanteras kegiatan jenayah di pintu masuk negara.

Sumber: Astro Awani (Asyraf Malik)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved