Bazar Deepavali berpusat di ibu negara, elak gangguan lalu lintas

8 Oct 2026 • 4:39 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Bazar Deepavali berpusat di ibu negara, elak gangguan lalu lintas

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan sebanyak 151 petak niaga sempena Bazar Deepavali 2026 yang buat julung kalinya dilaksanakan secara berpusat bagi menyusun semula aktiviti perniagaan dan mengurangkan gangguan lalu lintas di ibu negara.

Bazar yang berlangsung selama 30 hari bermula esok hingga 7 November itu akan diadakan di dua lokasi utama, iaitu kawasan parkir Kompleks Tun Sambanthan, Jalan Tun Sambanthan 1 dan Jalan Bunus 6, Masjid India.

Daripada jumlah keseluruhan petak niaga tersebut, sebanyak 131 petak ditempatkan di Kompleks Tun Sambanthan, manakala baki 20 petak lagi disediakan di Masjid India.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pendekatan baharu itu diperkenalkan bagi mengatasi isu pertindihan aktiviti perniagaan yang sebelum ini dijalankan di sepanjang jalan raya dan laluan pejalan kaki.

Katanya, tempoh penganjuran bazar turut dilanjutkan daripada 21 hari kepada 30 hari bagi memberi lebih banyak peluang kepada peniaga menjalankan aktiviti perniagaan sempena sambutan Deepavali.

“Buat pertama kalinya, kita memusatkan aktiviti perniagaan yang dianjurkan DBKL di satu kawasan. Konsepnya sama seperti Bazar Syawal dengan semua peniaga berdaftar ditempatkan di sini.

“Pemilik premis masih boleh mengadakan jualan promosi di hadapan kedai masing-masing, tetapi semua penjaja dan peniaga yang berdaftar dengan DBKL akan ditempatkan di kawasan bazar ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tapak Bazar Deepavali di Pusat Sukan dan Rekreasi Brickfields, di sini hari ini. 

Fadlun berkata, setiap petak niaga ditawarkan pada kadar RM400, merangkumi fi lesen, sewa tapak, caj perkhidmatan dan cagaran.

Menurutnya, lebih RM1.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan festival berkenaan dengan tujuan memberikan keselesaan kepada peniaga dan penduduk di kawasan sekitar.

Beliau berkata, pemilihan lokasi baharu turut mengambil kira kesesuaian laluan alternatif untuk kenderaan memandangkan kawasan Brickfields sering mengalami kesesakan lalu lintas.

“Pada hujung minggu, kita akan menempatkan lebih ramai anggota Rela kerana menjangkakan jumlah pengunjung yang lebih tinggi. Anggota penguat kuasa DBKL juga akan berada di kawasan ini sepanjang festival,” katanya.

Dalam pada itu, Fadlun berkata, DBKL turut bekerjasama dengan Kuala Lumpur Tourism Association (KLTA) dan perkhidmatan bas Hop-On Hop-Off (HoHo) bagi menarik lebih ramai pelancong ke bazar berkenaan.

Katanya, bazar yang beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam itu turut menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman dan barangan kering serta aktiviti pentas sepanjang penganjuran.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh meminta penduduk dan pengguna jalan raya bersabar sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang penganjuran bazar tersebut.

Beliau berkata, kesesakan tidak dapat dielakkan terutama ketika sambutan perayaan, namun DBKL akan memantau pergerakan trafik setiap hari bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Tidak kira di mana lokasi bazar ditempatkan, kesesakan tetap akan berlaku. Apa yang kita mahu lakukan ialah meminimumkan kesesakan yang teruk. Saya cuma meminta semua pihak bersabar kerana penganjuran ini hanya berlangsung selama 30 hari,” katanya.

Hannah berkata, pelaksanaan konsep baharu itu mungkin berdepan beberapa masalah logistik pada peringkat awal, namun beliau yakin DBKL mampu menanganinya melalui pemantauan dan kerjasama dengan persatuan terlibat. – UTUSAN 

The post Bazar Deepavali berpusat di ibu negara, elak gangguan lalu lintas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved