
Saudara pengarang,
Umum mengetahui minggu lalu negara diselubungi kedukaan dengan berita pemergian ibu pertiwi, Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali.
Apa sahaja berita dan perjalanan kisah pengebumian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dilaporkan oleh media menjadi perhatian rakyat.
Liputan daripada awal kematian, pengebumian dan pasca pemakaman diketahui apabila media melaporkannya sama ada menerusi siaran langsung ataupun laporan selepasnya di dada-dada akhbar.
Namun, perbuatan segelintir netizen yang menukarkan wajah petugas media dengan lembu adalah sangat biadab seolah-olah menghina pekerjaan yang menjadi periuk nasi mereka.
Mereka yang terpaling sensitif itu marah apabila petugas media merakamkan detik Tun M menangis hiba di sisi kubur isterinya.
Adakah pekerjaan itu sangat hina di mata mereka? Tidakkah mereka tahu media juga berperanan sebagai lidah masyarakat?
Mereka yang dalam kesempitan, rumah hendak kena roboh, kesusahan hidup, ditindas dan macam-macam masalah setempat mendapat perhatian dengan laporan di media arus perdana.
Adakah media tidak tahu adab? Adakah media melampaui batas? Tidak! Sudah tentu apa saja berkaitan Tun M menjadi perhatian kerana ia mempunyai nilai berita.
Adalah diharapkan mereka yang tidak bertanggungjawab itu dapat diheret ke muka pengadilan selepas pihak berkaitan membuat laporan polis mengenainya.
Sebelum menghina orang, adalah lebih baik melihat kepada diri sendiri. Adakah kamu sudah cukup mulia? Semua pekerjaan adalah ibadat selagi ia tidak melanggar batas-batas agama.
Solidariti media,
Lipat Kajang
The post Luahan pembaca: Hina petugas media tapi suka baca berita appeared first on Kosmo Online.






