BCB rancang pembangunan RM600 juta di tapak padang golf Bukit Banang, Batu Pahat

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 5:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BCB rancang pembangunan RM600 juta di tapak padang golf Bukit Banang, Batu Pahat Image from: BCB rancang pembangunan RM600 juta di tapak padang golf Bukit Banang, Batu Pahat sarah13/11/2026 - 17:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov - BCB Berhad, syarikat pemaju hartanah yang berpangkalan di Johor, merancang pembangunan baharu dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta di tapak padang golf Bukit Banang, Batu Pahat, susulan cadangan pembelian tiga bidang tanah pegangan bebas bernilai RM74.74 juta.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikat milik penuh BCB, Amber Vista Property Development Sdn Bhd, telah memeterai perjanjian jual beli dengan Indah Corporation Berhad bagi memperoleh tanah seluas kira-kira 433,977 meter persegi atau 107.24 ekar di Mukim Simpang Kanan, Batu Pahat, untuk meneroka peluang pembangunan hartanah pada masa depan.

 

Indah Corporation merupakan pengendali Bukit Banang Golf & Country Club dan dimiliki sepenuhnya oleh Berjaya Vacation Club Berhad. Pengambilalihan itu sekali gus membuka peluang kepada BCB untuk meneroka pembangunan hartanah di kawasan yang kini digunakan bagi aktiviti golf.

 

Pembangunan RM600 juta masih di peringkat awal

BCB berkata, anggaran GDV RM600 juta itu masih bersifat awal dan tertakluk kepada perancangan lanjut, keadaan pasaran, permintaan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

 

Kumpulan itu belum memuktamadkan jenis pembangunan yang akan dilaksanakan, jumlah kos pembangunan, tempoh pelaksanaan mahupun margin keuntungan yang dijangka daripada projek berkenaan.

 

Operasi padang golf perlu dihentikan

Berdasarkan syarat perjanjian, penjual bertanggungjawab memastikan operasi padang golf dihentikan dan kawasan berkenaan dikosongkan sebelum penyerahan milikan kepada BCB. Dua bidang tanah mempunyai syarat penggunaan sebagai padang golf, manakala satu lagi ditetapkan untuk tapak semaian dan kompleks penyelenggaraan, menjadikan sebarang perubahan kegunaan tanah tertakluk kepada kelulusan berkaitan.

 

Harga pembelian ditetapkan pada RM16 sekaki persegi, sedikit lebih rendah daripada nilai pasaran keseluruhan RM75 juta yang dinilai oleh CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd pada 12 November 2026.

 

Pembiayaan melalui dana dalaman dan pinjaman bank

BCB merancang membiayai pengambilalihan itu menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan komposisi pembiayaan sebenar akan ditentukan kemudian berdasarkan tahap hutang, kos faedah dan keperluan tunai kumpulan. Setakat 30 Jun 2026, tunai dan setara tunai kumpulan berjumlah RM29.90 juta.

 

Pengambilalihan tiga bidang tanah tersebut juga merupakan sebahagian daripada urus niaga berkelompok yang melibatkan satu lagi bidang tanah dibeli oleh Banang Central Development Sdn Bhd daripada penjual sama menerusi perjanjian berasingan. Kedua-dua urus niaga saling bergantung dan perlu diselesaikan serentak.

 

BCB menjangkakan pengambilalihan itu selesai pada separuh pertama 2027 dan tidak memberi kesan ketara terhadap keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027. Bagaimanapun, lembaga pengarah menjangkakan pembangunan tanah berkenaan berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa depan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved