sarah30/10/2026 - 10:35 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Pemaju hartanah KEB Berhad berpotensi membangunkan projek bernilai kira-kira RM1 bilion menerusi empat bidang tanah yang sedang dalam proses pengambilalihan, sekali gus memperluas portfolio pembangunan syarikat menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 16 November 2026.
Menurut TA Securities, empat bidang tanah seluas 16.09 ekar itu melibatkan kos pembelian keseluruhan RM78.5 juta, dengan projek yang bakal dibangunkan di atas tanah berkenaan dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan KEB mulai tahun kewangan 2028.
Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan tersebut melibatkan tanah di Cheras, Bandar Baru Bangi, Kajang dan Melaka Tengah, dengan urus niaga berkenaan dijadualkan selesai antara November 2026 hingga suku pertama 2027.
KEB kini mempunyai bank tanah seluas kira-kira 60.01 ekar, termasuk tanah yang masih dalam proses pengambilalihan, berbanding 29.77 ekar pada akhir tahun kewangan 2025.
Sementara itu, RHB Investment Bank (RHB Investment) berkata, peluasan bank tanah dijangka membolehkan KEB meningkatkan jualan hartanah dan pendapatannya dalam jangka panjang, khususnya di selatan Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Menurut RHB Investment, syarikat itu menyasarkan pelancaran projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM300 juta hingga RM400 juta setahun, disokong pengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan hartanah serta keupayaan pembinaan dalaman menerusi KEB Utama.
TA Securities pula menganggarkan KEB mempunyai projek pembangunan sedia ada dan dirancang dengan gabungan GDV RM1.74 bilion, termasuk Residensi Embun Palma di Cheras bernilai RM160.5 juta dan Residensi Jentayu di Ulu Langat bernilai RM429.4 juta yang masing-masing disasarkan untuk dilancarkan pada suku keempat 2026 dan suku pertama 2027.
Bagi menyokong pengembangannya, KEB merancang menggunakan RM19 juta atau 39.2% daripada RM48.5 juta hasil terbitan saham baharu IPO untuk pembelian tanah, selain RM14.9 juta bagi modal kerja pembangunan hartanah dan RM8.5 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank.
Dari segi prospek kewangan, RHB Investment mengunjurkan keuntungan bersih KEB meningkat kepada RM60.9 juta pada 2027, manakala TA Securities menjangkakan keuntungan bersih RM49.9 juta bagi tahun sama, mencerminkan perbezaan andaian unjuran kedua-dua firma.
RHB Investment menetapkan nilai saksama saham KEB pada 39 sen, iaitu kira-kira 11% melebihi harga IPO 35 sen, manakala TA Securities menetapkan nilai saksama 35 sen. Permohonan IPO dijadualkan ditutup pada 2 November sebelum penyenaraian pada 16 November 2026.- DagangNews.com





