
PETALING JAYA – Bina Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya, BDB Synergy Sdn. Bhd. meraih kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pembinaan dan penyiapan Integrated Business Centre (IBC) di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap.
Projek di Plot PT2217, KRC itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dari tarikh penyerahan milikan tapak yang turut melibatkan kerja-kerja luaran, pemasangan elektrik dan mekanikal, kerja cerucuk serta kerja-kerja berkaitan.
Dibangunkan di kawasan Bukit Ketapang, Padang Terap, KRC merupakan projek strategik yang bertujuan merancakkan pembangunan di kawasan timur Kedah serta menyokong pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah timur dan pantai barat negeri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md. Din berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan BDB Synergy dalam melaksanakan projek kejuruteraan dan pembinaan, termasuk daripada agensi Kerajaan Persekutuan.
“Penglibatan BDB Synergy dalam projek IBC ini juga selari dengan usaha Kumpulan BDB untuk memperkukuh perniagaan teras dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan, di samping memperluas penglibatan dalam projek-projek infrastruktur strategik di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post BDB raih kontrak RM11.5 juta di Kedah Rubber City appeared first on Kosmo Online.


