BDC pacu masa depan digital negara

LocalTechnology
31 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BDC pacu masa depan digital negara

SEMPENA sambutan Hari Kemerdekaan, kemajuan Malaysia bukan sahaja dapat dilihat melalui pembangunan fizikal, malah menerusi keupayaan negara membina asas kukuh untuk menghadapi masa depan berteraskan teknologi.

Hampir setiap interaksi digital hari ini bergantung pada pusat data, termasuk carian dalam talian, penstriman video, pembayaran melalui kod QR, pembelian dalam talian dan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI).

Data yang sering dikatakan tersimpan dalam ‘awan’ (the cloud) sebenarnya diproses di dalam bangunan fizikal yang menempatkan komputer pelayan yang dikenali sebagai pusat data.

Pusat data berfungsi untuk memproses, menyimpan dan memindahkan data, sekali gus menyokong kelancaran ekonomi digital.

Kini, infrastruktur ini memainkan peranan kritikal dalam menyokong pelbagai sektor daripada penyimpanan rekod pesakit dan automasi industri sehinggalah kepada pendidikan dalam talian, perniagaan global dan perkhidmatan awam.

Pusat data berskala hiper turut menyokong platform pengkomputeran awan, sistem perusahaan, perkhidmatan penstriman dan beban kerja AI berskala besar.

Operasinya memerlukan bekalan elektrik yang stabil, teknologi penyejukan, rangkaian telekomunikasi berkapasiti tinggi serta sistem keselamatan fizikal dan siber sepanjang masa.

Kedudukan strategik, jaringan perhubungan kukuh, tenaga kerja berkemahiran dan sokongan kerajaan membantu Malaysia muncul sebagai antara pasaran pusat data utama di Asia Pasifik.

Perkembangan itu membuka peluang kepada negara untuk menjadi hab digital serantau, menarik pelaburan teknologi dan menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.

Antara syarikat yang menyumbang kepada perkembangan tersebut ialah Bridge Data Centres (BDC), sebuah platform infrastruktur digital generasi baharu yang mempunyai pengalaman hampir sedekad dalam membangunkan dan mengendalikan pusat data berskala hiper merentasi rantau Asia Pasifik, termasuk di Malaysia, Thailand, India dan pasaran lain yang sedang berkembang pesat.

BDC kini merupakan platform infrastruktur digital generasi baharu terkemuka di Asia Tenggara berdasarkan kapasiti operasi.

Malaysia telah menjadi pasaran utama BDC sejak 2018. Malah, Bridge Data Centres Malaysia Sdn. Bhd. (BDC Malaysia) merupakan antara platform infrastruktur digital generasi baharu terawal yang bertapak di negara ini.

Kini, BDC Malaysia memiliki dan mengendalikan fasiliti pusat data berkualiti tinggi di Cyberjaya, Johor dan Kuala Lumpur, dengan perancangan untuk terus berkembang sekali gus mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.

Pelaburan BDC Malaysia bukan sekadar tertumpu pada pembangunan fizikal, malah merangkumi usaha memperkukuh ekosistem pembekal tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan membangunkan keupayaan teknikal Malaysia.

Pendekatan ini mencerminkan semangat ‘Dibina di Malaysia, untuk Malaysia’, memastikan setiap kemajuan digital turut memberi manfaat langsung kepada rakyat dan industri tempatan.

“Komitmen jangka masa panjang kami terhadap Malaysia bukan sahaja dapat dilihat melalui skala infrastruktur yang sedang kami bangunkan, tetapi juga menerusi cara ia dibangunkan. Kami percaya teknologi hijau dan kemampanan perlu diterapkan sejak dari peringkat awal, di samping mewujudkan peluang yang berkekalan kepada perniagaan, bakat dan masyarakat Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BDC Malaysia, Datuk Benjamin Ong.

Image from: BDC pacu masa depan digital negara
LOJI Rawatan Air BDC Malaysia merupakan kemudahan berskala besar pertama di Malaysia yang diintegrasikan dalam kompleks pusat data.

Di seluruh lokasi operasinya di Malaysia, strategi BDC Malaysia adalah untuk bekerjasama dengan penyedia utiliti tempatan utama, di samping memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan turut mewujudkan manfaat dan peluang jangka panjang kepada pembekal tempatan.

Dalam rantaian bekalan global BDC, pembekal Malaysia membentuk bahagian terbesar berbanding mana-mana pasaran lain tempat BDC beroperasi.

Pada tahun 2025, syarikat pembekal Malaysia merangkumi kira-kira 44 peratus daripada keseluruhan syarikat yang bekerjasama dengan BDC. Sebahagian besar perbelanjaan BDC bagi perkhidmatan kejuruteraan, pembinaan, pengurusan fasiliti, teknologi dan kemampanan turut disalurkan kepada syarikat tempatan.

Pembangunan kampus pusat data BDC turut membuka peluang dalam sektor logistik, tenaga dan perkhidmatan teknikal khusus, selain mewujudkan peluang kerjaya berkemahiran tinggi.

Secara keseluruhan, BDC Malaysia kini menggaji lebih 750 rakyat Malaysia. Seiring dengan pelaksanaan projek-projek baharu, syarikat komited untuk menggandakan jumlah tenaga kerja tempatan di Malaysia.

Pertumbuhan ini akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk beralih daripada pekerjaan kolar biru kepada kerjaya berkemahiran lebih tinggi dan berasaskan pengetahuan, dengan gaji permulaan bagi jawatan berkenaan dijangka melebihi RM5,000.

Usaha membina keupayaan tempatan diperkukuhkan lagi apabila BDC Malaysia menjadi rakan korporat strategik kepada Invest Johor dan Invest Selangor.

Dalam semangat kemerdekaan ini, pembangunan tersebut bukan sekadar membawa masuk teknologi, malah membina kepakaran dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia.

Seiring dengan perkembangan pesat sektor digital, BDC turut mengambil cakna akan keperluan untuk memastikan pertumbuhan ini dilaksanakan secara bertanggungjawab, khususnya dalam mengurus penggunaan sumber yang turut dikongsi bersama masyarakat.

BDC Malaysia mengambil kira aspek pengurusan air sejak peringkat awal reka bentuk pusat datanya dan seterusnya membangunkan loji rawatan air berskala besar pertama seumpamanya dalam kompleks pusat data di Malaysia.

Sistem tersebut merawat efluen sebelum air berkenaan digunakan semula untuk tujuan penyejukan pusat data. Sistem rawatan yang dibangunkan bersama oleh BDC dan syarikat teknologi tempatan Malaysia itu menggunakan teknologi bioreaktor membran (membrane bioreactor) dan osmosis berbalik (reverse osmosis).

Sejak mula beroperasi pada 2025, loji itu telah membantu mengurangkan kebergantungan kampus terhadap bekalan air negeri.

Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan Kerajaan Negeri Johor, termasuk menerusi kerjasama BDC dengan Johor Special Water (JSW) dan Permodalan Darul Ta’zim (PDT) dalam pelaksanaan loji rawatan air tersebut.

Usaha pengurusan air secara mampan turut dilaksanakan di kampus BDC Malaysia di Sedenak Tech Park, Johor, menerusi sistem penuaian air hujan yang menjimatkan kira-kira 1,340 meter padu air setahun, manakala pengoptimuman menara penyejuk mengurangkan penggunaan air sekitar 16,000 meter padu pada 2025.

Komitmen BDC Malaysia terhadap kemampanan turut diperlihatkan menerusi projek perintis bagi menggunakan hydrotreated vegetable oil (HVO) sebagai bahan api untuk penjana kuasa sokongan di salah sebuah kampus pusat data BDC Malaysia.

HVO yang merupakan bahan api boleh baharu berasaskan sisa boleh digunakan pada penjana sedia ada tanpa memerlukan pengubahsuaian dan berpotensi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 90 peratus.

“Malaysia mempunyai bakat, aspirasi dan keupayaan untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital serantau. BDC Malaysia komited untuk menyokong usaha tersebut menerusi pembangunan infrastruktur digital yang bertanggungjawab, memacu inovasi dalam teknologi mampan serta melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk berkembang maju dalam era digital,” tambah Datuk Ong.

Dalam semangat kemerdekaan, BDC kekal beriltizam untuk terus berkembang bersama negara melalui pembangunan infrastruktur yang bertanggungjawab, di samping mengalu-alukan rakan ekosistem tempatan yang berminat untuk bekerjasama dengan BDC bagi memperkukuh keupayaan tempatan dan memacu inovasi mampan. – UTUSAN

The post BDC pacu masa depan digital negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved