9 muka surat Azizulhasni tuntut jawapan KBS, MSN

28 Aug 2026 • 9:20 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 9 muka surat Azizulhasni tuntut jawapan KBS, MSN

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tampil membuka segala persoalan mengenai masa depan kariernya menerusi penjelasan sembilan muka surat berkaitan misi kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Kenyataan panjang yang dikongsikan menerusi media sosial itu antara lain menyentuh status khidmatnya kepada negara, laluan kelayakan Olimpik serta bentuk sokongan yang diperlukan bagi membolehkannya membuat persiapan terbaik.

Pelumba berusia 38 tahun itu menegaskan persoalan utama ketika ini bukan sekadar sama ada dia mahu meneruskan kayuhan ke LA28, sebaliknya kepastian sama ada Malaysia masih melihatnya sebagai sebahagian daripada perancangan menuju temasya berkenaan.

“Situasi sekarang sebenarnya bukan soal saya ingin meneruskan kayuhan ke LA28 ataupun tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmat saya untuk ke LA28,” katanya menerusi kenyataan itu.

Menurutnya, kepastian daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) amat diperlukan supaya segala persiapan dapat dirancang lebih awal, termasuk membabitkan latihan, kejohanan, keluarga dan komitmen bersama penaja.

Dalam penjelasannya, Azizulhasni turut menghuraikan laluan kelayakan LA28 yang perlu ditempuh pelumba selama dua musim, dengan setiap musim merangkumi satu Kejohanan Dunia, satu Kejohanan Benua dan tiga pusingan Piala Dunia.

“Untuk acara individu pula, hanya 30 pelumba terbaik dunia akan diambil untuk keirin dan pecut,” katanya.

Bagi acara pecut berpasukan pula, hanya lapan pasukan terbaik dunia akan mendapat tempat ke LA28, manakala Azizulhasni ketika ini berada di ranking ke-14 dunia selepas kembali daripada persaraan.

Kedudukan itu menurutnya masih membuka ruang untuk dia memperbaiki ranking sekiranya mampu mengekalkan prestasi dan konsisten sepanjang tempoh kelayakan dua musim tersebut.

Menariknya, Azizulhasni menegaskan faktor kewangan bukan perkara utama yang menjadi tuntutannya apabila dia bersedia mendapatkan sokongan swasta serta memilih laluan profesional sekiranya itu diperlukan.

“Jika untuk mempermudahkan keadaan, saya sendiri bersedia untuk bergerak secara profesional sepenuhnya tanpa menerima geran daripada pihak KBS dan MSN. Dana tersebut boleh disalurkan kepada pelumba-pelumba lain,” katanya.

Pada masa sama, dia mencadangkan sistem latihan secara hibrid dengan pembahagian masa antara Melbourne dan Malaysia mengikut keperluan jadual latihan, pertandingan serta komitmen penaja.

Azizulhasni turut mahu diwujudkan perjanjian hitam putih berhubung hak atlet terhadap mata kelayakan yang dikumpul bagi mengelakkan atlet hanya diberi perhatian ketika diperlukan untuk mengumpul mata sebelum kedudukan mereka berubah selepas itu.

Beliau turut menyentuh aspek pengurusan sukan berprestasi tinggi serta isu membabitkan pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, dengan harapan pengalaman lalu dapat dijadikan asas untuk memperbaiki sistem sokongan atlet negara.

Bagi Azizulhasni, keputusan mengenai masa depannya perlu mengambil kira bukan sahaja keperluan latihan dan pertandingan, malah keluarga, penaja serta aspek pemulihan yang menjadi sebahagian penting dalam persiapan menuju Olimpik.

Justeru, penjelasan sembilan muka surat itu menjadi medan Azizulhasni memperincikan pendiriannya serta mendapatkan jawapan lebih jelas daripada KBS dan MSN mengenai sama ada khidmatnya masih diperlukan untuk misi Malaysia ke LA28. – UTUSAN

The post 9 muka surat Azizulhasni tuntut jawapan KBS, MSN appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved