
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan dijangka mengeluarkan garis panduan baharu berkaitan waktu kerja fleksibel bagi pegawai perubatan siswazah (PPS).
Langkah tersebut susulan kebimbangan berhubung beban kerja melampau yang dihadapi golongan terbabit, dengan ada antara mereka dilaporkan bekerja sehingga 65 hingga 85 jam seminggu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, arahan baharu itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat sebagai langkah segera, bagi menangani aduan mengenai jadual kerja yang terlalu membebankan di hospital kerajaan.
Menurut beliau, PPS tidak seharusnya dianggap sebagai tenaga kerja tambahan dalam sistem kesihatan negara.
“Saya mengambil maklum isu yang dibangkitkan. Ia selaras dengan kenyataan KKM sebelum ini bahawa pegawai perubatan siswazah bukan ‘tenaga tambahan.
“Berhubung waktu kerja mereka, ia tertakluk kepada dasar Waktu Kerja Fleksibel yang telah diperkenalkan. Dalam satu atau dua hari lagi, garis panduan baharu akan dikeluarkan bagi memperkukuh pematuhan terhadap dasar sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Clinical Research Malaysia (CRM) Trial Connect 2026 di Nexus, hari ini.
Dr Dzulkefly menyatakan demikian sebagai mengulas kebimbangan disuarakan Malaysian Medics International (MMI) berhubung jadual kerja berat ditanggung PPS di Malaysia berbanding rakan setugas mereka di United Kingdom dan Ireland.
Menurut laporan MMI, PPS di United Kingdom lazimnya bekerja sekitar 40 jam seminggu dengan tempoh syif maksimum 13 jam, selain turut menerima cuti gantian dan bayaran tambahan bagi syif lanjutan.
Mengulas sama ada garis panduan baharu itu mampu menangani tekanan terhadap PPS yang sering berasa terpaksa akur kepada arahan kerja lebih masa daripada pihak atasan, Dr Dzulkefly berkata aspek tadbir urus dan pelaksanaan di peringkat operasi turut akan dinilai semula.
Katanya, penambahbaikan dalam pengurusan hospital akan menjadi sebahagian daripada usaha menyeluruh, bagi memastikan dasar waktu kerja fleksibel yang diperkenalkan sejak 2011 dipatuhi sepenuhnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif Clinical Research Malaysia, Dr Akhmal Yusof.
Terdahulu, ketika merasmikan edisi kelima DCRM Trial Connect 2026, Dr Dzulkefly menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai hab penyelidikan klinikal utama di Asia.
Beliau berkata, persidangan yang menghimpunkan organisasi penyelidikan tempatan dan antarabangsa serta komuniti penyelidikan klinikal itu membuktikan kesiapsiagaan Malaysia dalam mengekalkan piawaian antarabangsa dan pelaksanaan penyelidikan klinikal berkualiti tinggi.
Program berkenaan turut menampilkan Persidangan Kebangsaan Penyelidikan Klinikal ke-18 selain pameran dan penyampaian anugerah bagi menghargai sumbangan cemerlang penyelidik, organisasi penyelidikan dan penaja. – Getaran, 7 Mei 2026






