Beberapa jalan dan Jambatan P.Pinang ditutup Ahad ini

2 Jan 2023 • 9:32 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Beberapa jalan termasuk Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan ditutup sementara secara berperingkat untuk acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride pada 8 Jan (Ahad) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee berkata jarak kayuhan basikal untuk program itu adalah sejauh 66 kilometer dan jalan-jalan yang terlibat akan ditutup bermula 6.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Acara kayuhan berbasikal Penang Fellowship Ride anjuran kerajaan negeri bersama Kelab Berbasikal G Club dan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang melibatkan tempat pelepasan serta tempat penamatan di Persiaran Bayan Indah 2 (berhadapan Queens Waterfront),“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Soon berkata memandangkan acara kayuhan berbasikal akan melibatkan Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, laluan sehala akan ditutup dengan sepenuhnya pada masa yang tertentu sahaja untuk memberi laluan kepada peserta kayuhan.

“Bagi Jambatan Pulau Pinang iaitu dari arah bahagian Pulau ke Seberang Perai sahaja waktu penutupan adalah dari 6.30 pagi hingga 9 pagi manakala bagi Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari arah Batu Kawan ke Batu Maung sahaja waktu penutupan adalah dari 9 pagi hingga 12 tengah hari,“ katanya.

Beliau berkata Penang Fellowship Ride telah menarik 2,500 penyertaan termasuk peserta dari Singapura, Australia dan Jepun serta Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga akan mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal itu.

“Para peserta diingatkan untuk memakai jersi rasmi yang dibekalkan oleh pihak penganjur kerana hanya peserta yang memakai jersi rasmi sahaja dapat mengambil bahagian dalam acara kayuhan berbasikal ini dan merentasi Jambatan Pulau Pinang serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,“ katanya. - Bernama