johardy29/09/2026 - 11:34 IPOH 29 Sept - Beberapa syarikat automotif berminat untuk melabur di KLK TechPark, Tanjong Malim selepas pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD Company Ltd membatalkan rancangan membuka kilang di kawasan itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, KLK TechPark sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat bagi mengoptimumkan penggunaan hab perindustrian tersebut.
“KLK TechPark sebagai pihak berkepentingan sememangnya mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak untuk menjana pendapatan bagi menggantikan apa yang telah hilang.
“Beberapa pelabur daripada sektor berbeza sedang dipertimbangkan untuk memasuki KLK TechPark, sekali gus membuka peluang pelaburan yang sebelum ini dirancang bersama BYD,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan loji tenaga boleh diperbaharui (RE) biogas berkapasiti dua megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sanitari Papan Ulu Johan.
Pada 10 September lalu, BYD Malaysia mengesahkan bahawa ia tidak akan meneruskan rancangan membina kilang pemasangan kenderaan tempatan secara completely knocked down (CKD) di Tanjong Malim. Bagaimanapun, syarikat itu masih merancang untuk menjalankan operasi pemasangan tempatan di Malaysia.
Loji biogas mula beroperasi tahun lalu
Loji berkapasiti dua MW itu mula beroperasi pada 19 Mei tahun lalu menerusi kerjasama antara Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Teraju Sepadu Sdn Bhd.
Saarani berkata, kerjasama tersebut turut diperkukuh melalui Program Kelestarian Alam Sekitar dan Perjanjian Sumbangan Komuniti bagi membangunkan program kesedaran awam, pengurusan sisa serta aktiviti masyarakat setempat.
“Kemudahan ini menggunakan gas metana yang terhasil daripada pereputan sisa pepejal untuk menjana elektrik.
“Pendekatan ini bukan sahaja membolehkan sumber sisa dimanfaatkan secara produktif, malah membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera, selaras dengan prinsip ekonomi kitaran,” katanya. - BERNAMA






