
WASHINGTON: Kenaikan mendadak harga bahan api dan gangguan bekalan elektrik mencetuskan kemarahan orang ramai di beberapa negara, susulan perang Iran yang menyebabkan kos tenaga terus meningkat.
Harga minyak kembali melepasi AS$100 (RM405) setong minggu lalu susulan serangan lanjut Amerika Syarikat (AS) terhadap kapal tangki minyak Iran di Teluk serta pertempuran yang kembali tercetus di Yemen dan mengancam aktiviti perkapalan di Selat Bab al-Mandab.
Di AS, keadaan itu menyebabkan harga petrol meningkat serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan isi rumah yang bergantung kepada minyak pemanas untuk menghadapi musim sejuk.
Penganalisis menjangkakan harga bahan api meningkat sehingga 30 peratus susulan konflik yang berlarutan di Iran.
Kenaikan harga bahan api turut mencetuskan kemarahan dan bantahan di beberapa negara apabila orang ramai berdepan kesukaran menanggung kos minyak, perjalanan ke tempat kerja dan menjalankan perniagaan.
Kenaikan mendadak harga bahan api pada hujung minggu lalu mencetuskan demonstrasi di seluruh Syria, sekali gus menjadi tunjuk perasaan terbesar di negara itu sejak kejatuhan rejim Bashar al-Assad dua tahun lalu.
Kerajaan Syria menaikkan sementara harga diesel kepada 175 paun Syria (RM5.79) seliter, iaitu peningkatan kira-kira 40 peratus, menurut agensi berita Syria, SANA. Harga gas turut dinaikkan lebih 25 peratus.
Di Guatemala minggu lalu, sekumpulan pemandu lori dan penunjuk perasaan lain menyekat lebuh raya serta menyebabkan kerosakan di beberapa kawasan negara itu sebagai bantahan terhadap kenaikan harga bahan api, menurut Associated Press.
Kongres Guatemala kini berusaha menangani ketidakpuasan hati yang semakin meluas itu menerusi cadangan undang-undang untuk mengehadkan harga bahan api sehingga akhir tahun.
Rakyat di bandar Espinho, Portugal, turut mengadakan tunjuk perasaan pada Sabtu lalu bagi membantah kenaikan harga petrol serta peningkatan kos sara hidup.
Bantahan sama berlaku di Perancis apabila kira-kira 50 nelayan menyekat sebuah depoh bahan api utama di bandar pesisir Fos-sur-Mer, selatan negara itu, pada Selasa sebagai membantah kenaikan harga bahan api.
Di Filipina, pekerja kumpulan pengangkutan Manibela pula melancarkan mogok pada Isnin bagi membantah kenaikan harga bahan api, selain mendesak kerajaan menyediakan subsidi dan memansuhkan cukai bahan api.
The post Dunia protes harga minyak naik appeared first on Utusan Malaysia.




