Bedi jual 2 gudang, blok pejabat bernilai RM14.3 juta di Kota Kinabalu kepada SWE Elektrikal

LocalBusiness & Finance
11 May 2026 • 6:10 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bedi jual 2 gudang, blok pejabat bernilai RM14.3 juta di Kota Kinabalu kepada SWE Elektrikal Image from: Bedi jual 2 gudang, blok pejabat bernilai RM14.3 juta di Kota Kinabalu kepada SWE Elektrikal amree11/05/2026 - 18:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 MeiBedi Berhad menjual sebuah tapak industri di Kota Kinabalu, Sabah bernilai RM14.3 juta, sekali gus dijangka menjana keuntungan bersih melebihi RM9.8 juta kepada kumpulan.


Ia dilaksanakan anak syarikatnya, Wah Mie Realty Sdn Bhd menerusi perjanjian jual beli (SPA) dengan SWE Elektrikal Sdn Bhd bagi melupuskan tanah komersial bersama dua gudang dan satu blok pejabat.


Lokasi hartanah itu ujar kumpulan pemaju berkenaan, terletak strategik di Batu 5, Jalan Tuaran, dan langkah pelupusan tersebut antara usaha penjanaan wang daripada aset hartanah matang di Sabah. 


"Hartanah pegangan pajakan seluas 0.46 hektar di kawasan perindustrian Kolombong itu dijual pada harga premium sekitar 11.7% lebih tinggi berbanding penilaian bebas hanya RM12.8 juta," jelas Bedi.


Menurutnya, aset berusia lebih 40 tahun itu kini digunakan sepenuhnya bagi operasi pergudangan oleh anak syarikat kumpulan, namun ada potensi pembangunan komersial yang belum diterokai sebelum ini.


Cadangan pelupusan ini tambahnya, membolehkan kumpulan berkenaan dapat membuka nilai aset bukan terasnya, sekali gus mampu memperkukuh tahap kecairan serta mengurangkan tahap keberhutangan.


Daripada hasil bersih sekitar RM9.8 juta yang dijangka diperoleh selepas ditolak segala cukai dan kos berkaitan, sebanyak RM3 juta akan digunakan Bedi untuk pembayaran balik pinjaman bank.


"Sementara sebanyak RM6.8 juta lagi bakal disalurkan bagi pembiayaan perluasan aktiviti perniagaan dan inisiatif strategik pada masa depan yang akan memberi keuntungan jangka panjang," ujarnya.


Pelupusan itu jelasnya, dijangka meningkatkan aset bersih (NA) kumpulan kepada RM223.47 juta berbanding RM192.02 juta sebelum ini, selain memperbaiki pendapatan sesaham (EPS) kumpulan.


Transaksi berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan kedua-dua pihak menjelang suku keempat 2026, tertakluk kepada kelulusan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.


Selain itu kata Bedi, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dilaporkan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard